Sahabat Alam Malaysia (SAM) menyoal Jabatan Alam Sekitar (JAS) sama ada kandungan dan paras hidrogen sianida (HCN) dalam udara di Bukit Koman, Raub, Pahang yang diisytiharkan selamat oleh JAS adalah benar-benar selamat dan tidak akan menjejaskan kesihatan mereka yang terdedah kepada bahan pencemar ini.
Ia telah dilaporkan bahawa dalam satu kenyataan kepada The Malay Mail, JAS berkata pemantauan persekitaran berhampiran loji pemprosesan emas Raub Australian Gold Mining Sdn Bhd (RAGM) di sini mendapati bahawa setiap bacaan HCN adalah di bawah 4.7 bahagian per juta (ppm ) standard bagi keselamatan dan kesihatan pekerja yang ditetapkan oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH). Bacaan juga jauh di bawah standard 10ppm yang ditetapkan oleh Garis Panduan Pengurusan Sianida, Jabatan Mineral dan Tenaga Australia Barat (Cyanide Management Guidelines of the Department of Mineral and Energy, Western Australia).
Walau bagaimanapun, SAM berpendapat bahawa standard yang digunakan oleh JAS untuk membuat kesimpulan bahawa paras HCN adalah selamat BUKAN standard yang betul. Standard yang lebih ketat wujud untuk rujukan tahap pendedahan bagi pernafasan berbanding dengan had siling 4.7ppm untuk HCN di bawah Peraturan-Peraturan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia, di mana majikan perlu memastikan bahawa pendedahan mana-mana orang kepada bahan kimia berbahaya tidak melebihi had siling yang ditetapkan.
Sebagai contoh, di California, terdapat standard yang menetapkan bahawa dalam jangka pendek, dalam usaha untuk mencegah kehilangan koordinasi dan kehilangan kesedaran, akibat hipoksia selular sistem saraf pusat, tahap HCN untuk purata 24-jam hendaklah tidak melebihi 340 μg/m3 (0.30 ppm).
[http://oehha.ca.gov/air/hot_spots/2008/AppendixD2_final.pdf # page = 119]
Manakala dalam jangka panjang, untuk mengelakkan kesan kepada sistem saraf pusat, pembesaran tiroid dan gangguan hematologi, tahap purata tahunan HCN tidak harus melebihi 9μg/m3 (0.008 ppm). [http://oehha.ca.gov/air/hot_spots/2008/AppendixD3_final.pdf # page = 313]
Sehingga JAS boleh menunjukkan bahawa tahap HCN berada di bawah standard ini (0.3 ppm pada purata 24-jam, 0.008 ppm dalam setahun), ia tidak mempunyai asas untuk membuat kesimpulan bahawa tahap hidrogen sianida di Bukit Koman adalah selamat untuk penduduk yang tinggal di sini. Perlu diingati bahawa masyarakat tempatan di sini bukanlah pekerja yang membuat pilihan untuk terdedah kepada bahan pencemar ini dalam tempoh masa bekerja.
Tambahan pula, hidrogen sianida bukan pencemar tunggal di sini dan anggota masyarakat yang terdedah terutamanya individu yang lemah daya tahan mengalami masalah kesihatan untuk tempoh berlanjutan dan mereka mengesyaki ianya disebabkan oleh pendedahan kepada beberapa bahan pencemar.
Kami menggesa pihak berkuasa yang bertanggungjawab untuk menjalankan pemantauan pencemaran udara 24-jam berterusan untuk tempoh jangka panjang dan mengenalpasti punca pelepasan. Garis panduan kualiti udara ambien untuk HCN dan bahan cemar lain mesti ditetapkan dan standard yang lebih ketat mesti digunakan oleh JAS untuk menjamin kesihatan awam dan alam sekitar terpelihara.
S.M. Mohamed Idris
Presiden