Sahabat Alam Malaysia (SAM) menggesa pihak-pihak berkenaan supaya menyiasat punca sebenar masalah limpahan air sungai ekoran dari hujan lebat yang berlaku di beberapa kawasan sekitar Seberang Perai Selatan baru-baru ini pada 9 September 2017 (Sabtu). Tindakan wajar termasuk menaik taraf sistem perparitan perlu diambil bagi menangani masalah limpahan air dari memasuki ke kawasan perumahan, kampung, premis perniagaan dan kawasan lain.
Kajian terperinci perlu dibuat oleh pihak-pihak berkenaan kerana masalah perparitan telah menyebabkan limpahan air yang serius hingga mengakibatkan kerosakan harta benda, tanaman, haiwan ternakan dan peliharaan.
Menurut orang awam yang ditemui kejadian limpahan air ini pernah berlaku pada tahun 1997 tetapi situasinya sedikit berbeza kerana warna air pada kali ini berwarna kuning dan bercampur selut.
SAM juga mendapat maklumat dari beberapa orang penduduk di sekitar kawasan kampung Relau, Kedah di mana mereka mendakwa kemungkinan besar masalah ini ada kaitan dengan aktiviti penebangan pokok di atas bukit-bukit termasuk Bukit Relau yang berhampiran kampung mereka.
Kejadian banjir kilat yang berlaku baru-baru ini menimbulkan kebimbangan sebilangan besar penduduk berdekatan yang terlibat malah banyak pihak mempersoalkan tentang sistem perparitan yang tidak sistematik dan berkesan.
Selain itu masalah tebing Sungai Jawi perlu dikaji kerana limpahan air berpunca dari tebing yang agak rendah. Disebabkan itu lebih kurang 10 buah kampung dan tiga taman perumahan menjadi mangsa keadaan banjir kilat yang disebabkan oleh limpahan air sungai tersebut.
Antara kampung-kampung yang terlibat adalah Kampung Wellessley, Kampung Sethu, Kampung Titi Hitam, Kampung Pengkalan, Kampung Masjid Baru, Kampung Permatang Ara, Kampung Sungai Baong, Kampung Sungai Duri di Daerah Seberang Perai Selatan serta Kampung Relau di Daerah Bandar Baharu, Kedah. Selain itu, beberapa buah taman perumahan yang turut menerima kesan limpahan air tersebut adalah Taman Desa Jawi, Taman Sungai Duri Indah dan Taman Sungai Duri Permai.
Dalam tinjauan SAM ke jalan ban Sungai Jawi, kami menemui beberapa kawasan yang jelas kelihatan terdapat kesan limpahan air dari sungai berkenaan. Jika dilihat dari jarak jauh kelihatan tebing ban tersebut sedikit rendah berbanding tebing ban yang lain. Tambahan, kelihatan kesan runtuhan kecil pada tebing dinding ban. Runtuhan tersebut perlu segera dibaiki kerana walaupun ianya nampak kecil tapi lama-kelamaan ia akan bertambah serius jika tidak ditangani dengan segera.
Sehubungan itu SAM menggesa Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Kerja Raya (JKR), Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) serta Kerajaan Negeri memandang serius dan mengambil inisiatif bagi menangani masalah yang berlaku agar saliran parit, longkang dan sungai adalah berfungsi dengan baik.
SAM berharap agar pihak-pihak yang bertanggungjawab lebih peka terhadap perkara ini dan mengambil langkah berkesan demi kelestarian alam sekitar dan kesejahteraan penduduk tempatan agar kejadian limpahan air seperti ini tidak berulang di masa akan datang.
S.M.MOHAMED IDRIS
Presiden