Sahabat Alam Malaysia (SAM) membantah cadangan kuari batu kapur di Gua Kelambu, Lot PT 1, Mukim Pulai, Daerah Baling, Kedah berdasarkan beberapa perkara berikut:-
TEMPOH SAH LAPORAN EIA TELAH TAMAT
Tarikh kelulusan melanjutkan tempoh Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (Laporan EIA) bagi Cadangan Kuari Batu Kapur di Gua Kelambu, Lot PT 1, Mukim Pulai, Daerah Baling, Kedah cadangan projek ialah 6 Februari 2017.
Kelulusan Laporan EIA hanya sah diterima pakai dalam tempoh dua (2) tahun dari surat kelulusan dikeluarkan.
PERCANGGAHAN ZON
Mengikut Rancangan Tempatan Daerah Baling 2020 (RTD Baling 2020) yang diwartakan pada 29 Disember 2011, pengezonan kawasan cadangan projek (Blok Perancangan Kecil 4.3 – BPK 4.3) ialah hutan.
Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Negeri Kedah (JPBD Kedah) tidak boleh mengeluarkan kawasan zon hutan kepada zon kuari batu kapur melainkan telah dilaku dan diluluskan suatu pengubahan, pemansuhan atau penggantian RTD mengikut Subseksyen 16(1), Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172).
KEPENTINGAN WARISAN SEJARAH DAN ARKEOLOGI
Kajian pakar-pakar sejarah, arkeologi dan Jabatan Warisan Negara mendapati kawasan cadangan projek (Gunung Pulai) dan Gunung Baling (bersebelahan) mempunyai nilai yang tinggi daripada perspektif warisan sejarah dan arkeologi.
Penemuan artifak dan ekofak (tinggalan arkeologi bukan hasil karya manusia) menunjukkan masyarakat terawal telah mendiami kawasan sekitar Gunung Pulai dan Gunung Baling kira-kira 16,000 hingga 17,000 tahun yang lalu.
Laporan Eksplorasi Gua dan Survei Permukaan Kompleks Gunung Baling dan Gunung Pulai, Baling yang dilakukan pada 5 – 9 Mac 2012 anjuran Jabatan Warisan Negara telah mengenal-pasti empat (4) gua dalam kawasan cadangan projek iaitu Gua Kelambu, Gua Tembus 1, Gua Tembus 2 dan Gua Kecil perlu dipelihara untuk kajian.
TIDAK MEMPUNYAI PAKAR BERKELAYAKAN BERKAITAN FLORA DAN FAUNA DALAM PASUKAN KAJIAN
Senarai pengkaji pasukan kajian Laporan EIA cadangan projek tidak mempunyai pakar berkelayakan berkaitan flora dan fauna.
Keperluan terhadap pakar flora dan fauna adalah penting kerana kawasan cadangan projek melibatkan habitat dan jenis hutan batu kapur yang unik.
Laporan EIA hanya menyatakan flora dan fauna di kawasan cadangan projek biasa terdapat di tempat lain dan tidak menyenaraikannya secara teperinci.
JARAK ZON PENAMPAN
Terdapat beberapa rumah penduduk berhampiran cadangan projek kurang daripada 500 meter.
Mengikut Garis Panduan Pemuliharaan dan Pembangunan Kawasan Sensitif Alam Sekitar Serta Kawasan Sekitarnya, jarak zon penampan bagi sumber batuan agregat bukit batu kapur ialah 500 meter atau tiga kali ganda jarak ketinggian tebing tegak bukit batu kapur tersebut atau mana yang lebih.
Perlu juga mematuhi ‘Guidelines for Siting and Zoning Industry and Residential Areas 2012’.
KAJIAN IMPAK SOSIAL TIDAK MENYELURUH
Komponen Laporan EIA berhubung Kajian Impak Sosial (SIA) tidak menyeluruh meliputi keseluruhan penduduk yang tinggal berhampiran kawasan cadangan projek.
Sebilangan penduduk yang tinggal berhampiran kawasan cadangan projek mendakwa, tidak pernah dimaklumkan mahupun disoal selidik samada oleh perunding EIA, penggerak projek mahupun agensi-agensi yang berkaitan.
MENJEJAS SUMBER PENDAPATAN SAMPINGAN PENDUDUK BERHAMPIRAN
Kegiatan eko pelancongan kecilan berasaskan alam semula-jadi seperti menggua, mendaki Gunung Pulai dan berkayak di sebahagian Sungai Ketil menjadi sumber pendapatan sampingan penduduk berhampiran kawasan cadangan projek terutamanya kepada golongan belia.
Disamping itu kegiatan-kegiatan lain seperti mencari hasil hutan dan mengambil baja organik juga menjadi sumber pendapatan sampingan penduduk berhampiran kawasan cadangan projek.
Kegiatan kuari secara langsung mahupun tidak langsung boleh menjejaskan sumber pendapatan sampingan penduduk berhampiran kawasan cadangan projek.
MENJEJAS SUMBER AIR MENTAH UNTUK LOJI RAWATAN AIR SUNGAI LIMAU DAN PENGAIRAN SAWAH PADI
Tidak mustahil akan mencemar dan merosotkan kualiti air Sungai Ketil berpunca daripada kerja-kerja tanah, sisa hancuran agregat batu kapur dan diesel kawasan cadangan projek (jarak antara Sungai Ketil dengan kawasan cadangan projek kurang 100 meter).
Kekeruhan, kelodak, mendapan dan berminyak yang terhasil daripada punca-punca pencemaran air di Sunga Ketil boleh menjejaskan operasi muka sauk Loji Rawatan Air Sungai Limau dan sumber pengairan sawah padi yang terletak di hilir Sungai Ketil.
MENJEJAS KUALITI UDARA
Tidak mustahil akan mencemar udara kawasan berhampiran cadangan projek berpunca daripada kuantiti pepejal terampai (Suspended Solids – SS), ‘particle’ dan bendasing udara (seperti debu dan habuk).
Peningkatan kuantiti pepejal terampai (SS), ‘particle’ dan bendasing udara di udara kawasan berhampiran cadangan projek boleh menjejaskan kesihatan penduduk terutama penyakit berkaitan paru-paru (silicosis).
Disamping itu, pencemaran udara kawasan berhampiran cadangan projek boleh memberi kesan kepada kesuburan dan tumbesaran tanam-tanaman penduduk.
PENINGKATAN ALIRAN LALU LINTAS
Cadangan projek akan meningkatkan aliran lalu lintas terutama kenderaan-kenderaan berat di jalan raya-jalan raya kawasan berhampiran cadangan projek.
Cadangan dan Alternatif
Maklum balas SAM berhubung bantahan terhadap Laporan EIA bagi Cadangan Kuari Batu Kapur di Gua Kelambu, PT 1, Mukim Pulai, Daerah Baling, Kedah juga mengambil kira kuari batu kapur sedia ada yang telah lama beroperasi di Gunung Baling (bersebelahan) dan Pihak Berkuasa Negeri tidak perlu meluluskan kegiatan kuari batu kapur yang baharu.
Oleh itu adalah wajar Pihak Berkuasa Negeri mengekalkan zon sedia ada iaitu sebagai zon hutan dan mewartakan sebagai kawasan perlindungan terutama berstatus Hutan Simpanan Kekal (HSK). Cadangan pewartaan berstatus HSK ialah untuk memastikan ianya mempunyai jaminan ‘security of tenure’.
Ketika ini tidak ada lagi petak HSK yang dilitupi jenis hutan batu kapur di negeri Kedah kecuali di Pulau Langkawi.
Walaupun kawasan cadangan projek telah diwarta sebagai HSK, Pihak Berkuasa Negeri masih boleh menjana hasil melalui sumber bukan kayu yang lebih mampan dan berkekalan.
Sumber alternatif bukan kayu ialah daripada kegiatan eko pelancongan impak rendah yang berasaskan alam semula jadi (Permit Memasuki HSK: Seksyen 43[3]), Akta Perhutanan Negara 1984) dan mengambil hasil hutan (Lesen Kecil: Seksyen 30[4]), Akta Perhutanan Negara 1984) yang ramai melibatkan penduduk tempatan terutamanya golongan belia.
Pertimbangan Pihak Berkuasa Negeri untuk membatalkan cadangan kuari batu kapur tersebut adalah selari degan manifesto Pakatan Harapan Negeri Kedah pada Pilihanraya Umum ke 14 lalu iaitu Teras Kesepuluh: Melestarikan Alam Sekitar.
MEENAKSHI RAMAN
Presiden