Tanggal 29 Ogos adalah tarikh untuk memperingati bencana eksport haiwan hidup terbesar yang berlaku pada tahun 1996 apabila sebuah kapal membawa 67,000 ekor biri-biri terbakar dan hilang di Lautan India. Kapal itu sedang dalam perjalanan dari Australia ke Jordan – pasaran terbesar Australia bagi biri-biri hidup – apabila kebakaran bermula di bilik enjin dan merebak ke bilik penginapan kakitangan, membunuh seorang daripada 55 kakitangannya, manakala selebihnya meninggalkan kapal itu.
Insiden tragik ini bukan hanya sekali berlaku. Satu lagi insiden yang sama berlaku pada 1980, apabila 40,600 biri-biri mati dalam kebakaran di atas kapal yang berlayar dari Tasmania ke Iran.
Di Malaysia pula, pada Februari 1998, 2,400 haiwan ternakan tersadai apabila ia tiba dari Geraldton di Australia Barat dengan kapal MV Anomis. Tiba-tiba ejen yang bertindak bagi pemilik kapal, Agro Livestock Ltd., membatalkan kontrak menyebabkan kapal itu tidak dibenarkan memasuki Pelabuhan Klang. Apabila kapal itu akhirnya berlabuh selepas mendapat perintah dari Mahkamah Tinggi, 285 ekor kambing dan 113 ekor lembu ditemui mati akibat kelemasan, stres dan pneumonia.
Sahabat Alam Malaysia (SAM) ingin mendedahkan satu lagi sumber kesengsaraan haiwan iaitu pengangkutan haiwan ternakan hidup. Amat menyedihkan bahawa tiada perhatian yang diberikan terhadap berjuta haiwan ternakan yang diangkut melalui kapal dan jalan raya.
Haiwan ternakan jarang diberikan ruang secukupnya dalam pengangkutan sepertimana dalam kurungan di tempat ternakan. Syarikat pengangkutan biasanya cuba memuatkan seberapa banyak haiwan ke dalam kenderaan selagi boleh ditolak masuk. Haiwan ini dibiarkan berdiri dengan tekanan tubuh daripada haiwan lain di sekelilingnya.
Di atas kapal, traumanya menjadi semakin buruk, banyak haiwan mati akibat kerosakan dalam sistem pengedaran uara di dalam kapal, cuaca buruk dan keadaan yang kasar. Lemas, kebuluran, dehidrasi dan penyakit, kekurangan tidur, cirit-birit, stres haba, penyakit pernafasan, trauma dan penyakit gerakan semuanya dialami oleh haiwan yang tumpas, kekal di mana ia jatuh dan mati secara perlahan dan kesakitan.
Haiwan yang mati ketika dalam transit boleh dianggap bernasib baik apabila dibandingkan dengan haiwan yang tiba di negara yang amat tinggi suhu dan kelembapannya dan bagi mereka, permulaan kepada beberapa siri keadaan yang menggerunkan. Diturunkan dalam keadaan yang menyeksakan dan tidak berperikemanusiaan di mana haiwan ini dilempar, dipaksa, dipukul dan dihentak untuk mengawalnya.
Ayam itik dikurung dalam sangkar plastik ketika mengangkutnya dengan banyak ayam itik disumbat ke dalam satu sangkar dan disusun bertingkat tinggi dalam trak atau lori yang mengangkutnya. Dengan banyak ayam itik dalam sangkar, pergerakannya terhad sehingga tiba ke destinasinya di pasar. Terdapat pendedahan yang tinggi kepada haba dan matahari dan jumlah masa yang dihabiskan tanpa makanan dan air dalam perjalanan yang panjang, kerana trak berhenti di pasar-pasar sepanjang jalan, mengalami kerosakan atau terlibat dalam kemalangan.
Adakah kita sebagai masyarakat penyayang menerima kaedah pengeluaran daging yang mengurung haiwan yang mempunyai perasaan dalam keadaan sesak dan tidak sesuai sepanjang hayat mereka? Mereka dilayan seperti jentera yang menukar makanan binatang kepada daging dan sebarang inovasi yang menghasilkan pendapatan yang lebih tinggi layak untuk dilaksanakan.
Persepsi kita terhadap haiwan yang dipelihara bagi tujuan pertanian sebenarnya dikaitkan dengan rantaian makanan. Oleh itu, pengeluarnya tidak memberikan sebarang perhatian kepada kebajikan dan tidak mempedulikan kesengsaraan haiwan ternakan. Memandangkan haiwan yang diternak adalah untuk tujuan disembelih, kepentingan kebajikan haiwan seringkali terlepas pandang. Malah pengguna kurang prihatin dengan isu ini dan terus tidak menyedarinya selagi daging terus berada di atas meja makan.
Tiada undang-undang untuk mengawal pengangkutan haiwan hidup, untuk melindungi kebajikan haiwan dengan berkesan sepanjang perjalanan, dan juga tiada undang-undang yang berkaitan keadaan kehidupan, amalan pengendalian harian haiwan ternakan di ladang.
Persoalan kami ialah adakah kita membenarkan kezaliman terus wujud dengan eksport haiwan hidup untuk disembelih? Negara perlu menyedari bahawa haiwan yang kita ternak mestilah kekal menjadi tanggungjawab kita sehingga mati. Tiada kepuasan yang diperolehi dan sudah tentu tidak bermoral untuk tidak mengambil berat tentang isu ini demi komersialisasi.
Haiwan ternakan ladang untuk sembelihan masih makhluk hidup seperti anjing dan kucing dan menjadi hak bagi setiap orang daripada pihak berkuasa hinggalah kepada pengguna untuk benar-benar prihatin terhadap kebajikan mereka.
S. M. Mohamed Idris
Presiden