Forum bersama C4 Center-SAM tentang sisa plastik import menonjolkan kesannya

plastic bottles, bottles, recycling-115071.jpg

Satu forum bersama yang dianjurkan oleh Center to Combat Corruption and Cronyism (C4 Center) dan Sahabat Alam Malaysia (SAM) pada 29 Julai 2021 berkenaan penambahbaikan pemantauan dan penguatkuasaan terhadap pemprosesan haram sisa di Kedah dan Pulau Pinang telah menonjolkan masalah yang dihadapi oleh komuniti dan agensi penguatkuasaan dalam menangani isu ini. Forum ini juga telah mewujudkan satu platform bagi orang ramai dan agensi penguatkuasaan untuk berinteraksi.

Bertajuk “Malaysia Bukan Tempat ‘Pembuangan Sampah’: Meningkatkan Usaha Pemantauan dan Penguatkuasaan di Kedah dan Pulau Pinang”, forum ini membentangkan hasil penyelidikan C4 Center mengenai isu tadbir urus dan ketidaksahan berkaitan dengan sisa plastik import, serta pembentangan dan forum dibarisi oleh panel pakar, dengan SAM sebagai moderator. Acara ini juga bertepatan dengan Mesyuarat Persidangan Pihak kepada Konvensyen Basel, Rotterdam dan Stockholm mengenai sisa berbahaya, bahan kimia dan bahan pencemar organik tegar.

“Objektif program ini ialah untuk melihat punca utama kepincangan perdagangan sisa yang membawa kerosakankepada alam sekitar, dan menangani jurang yang serius dalam isu tabdir urus, dan sejauhmana ketelusan dan akauntabiliti perlu ditambah baik,” kata Cynthia Gabriel, Pengarah Eksekutif C4 Center, dalam ucapan pembukaannya.

Para panel terdiri daripada Exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang bagi Alam Sekitar dan Kebajikan, YB Phee Boon Poh; Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang, Sharifah Zakiah Syed Sahab; Ketua JAS cawangan Sungai Petani, Ya Mohammad Nazir Syah Ismail; dan bekas Presiden Persatuan Tindakan Alam Sekitar Sungai Petani, Pn. Lydia Ong.

Sepanjang pembentangan panel, ahli panel, dengan moderatornya Mageswari Sangaralingam, Setiausaha Kehormat SAM, membincangkan kuasa dan peranan berbeza yang ada pada setiap peringkat kerajaan dalam mengawal kitar semula sisa plastik, sementara mengenal pasti cabaran yang dihadapi oleh pihak berkuasa dalam memantau dan penguatkuasaan sepanjang rantaian nilai bagi aliran sisa.

Penemuan penyelidikan C4 Center yang dibentangkan oleh penyelidik Wong Pui Yi,  menunjukkan bahawa walaupun terdapat usaha penyelarasan yang luas oleh kerajaan, tidak hanya terdapat kelemahan dalam rangka kerja dasar dan perundangan di Malaysia. Mudahnya berlaku aktiviti haram menunjukkan meresapnya rasuah dan kelekaan dalam kalangan pengawal selia dan perniagaan, seterusnya membawa kepada jenayah dan ugutan terhadap aktivis.

“Kita harus mempersoalkan batasan dan kelemahan yang membolehkan jenayah terhadap alam ini dilakukan di negara kita,” kata Wong. “Kerajaan tempatan juga perlu mempunyai lebih kuasa dan bertanggungjawab.”

Malaysia melihat kemasukan besar-besaran sisa import berikutan pengharaman sisa oleh negara China pada 2018, yang membawa kepada kenaikan mendadak kilang kitar semula dan tempat pembuangan sampah haram, mengakibatkan pencemaran tanah, air dan udara yang menjejaskan komuniti di seluruh negara.

Apabila usaha penguatkuasaan meningkat, operasi haram akan berpindah ke kawasan lain, membawa kepada khabar angin mengenai organisasi kolektif, dan tuduhan penyelewengan, salah laku, dan rasuah.

“Saya selalu percaya kita perlu menyelesaikan masalah ini di peringkat sumbernya, dan sumbernya termasuk semua sisa plastik yang masuk ke Malaysia,” kata Phee, menambah bahawa isu ini perlu ditangani dengan segera. Beliau juga menggesa supaya rundingan yang lebih baik antara kerajaan persekutuan dengan kerajaan negeri dan kerajaan tempatan dalam proses meluluskan permit import sisa.

“Sisa import haram membawa kepada kerosakan alam sekitar melalui operasi premis sisa haram dan pembakaran terbuka yang membawa kepada pelepasan gas toksik serta pelarut resapan toksik yang mencemarkan sungai dan air bawah tanah dengan logam berat,” kongsi Sharifah Zakiah.

“Di peringkat tempatan, JAS cawangan Sungai Petani tidak mempunyai kakitangan yang mencukupi untuk meliputi pelbagai sumber sisa, dengan penguatkuasaan menjadi lebih mencabar apabila pelaku kesalahan mencari kelemahan dalam undang-undang. Pengadu juga perlu menyedari akan bidang kuasa setiap agensi, dan menyediakan maklumat yang tepat daripada sumber yang boleh dipercayai,” kata YaMohammad Nazir, dengan menambah Covid-19 juga turut menjejaskan usaha penguatkuasaan.

“Komuniti juga terjejas dengan teruk akibat pencemaran, dengan peningkatan dalam masalah kesihatan merangkumikeadaan dan penyakit berkaitan pencemaran,” kongsi Ong.

C4 Center dan SAM menyarankan supaya pengimportan sisa ke Malaysia diharamkan. Ini dapat menangani isu sisa import yang tidak dapat dikembalikan kepada negara asal. Langkah besar ke arah menyelesaikan pemprosesan sisa haram di Malaysia ialah memutuskan bekalan.

“Masalah daripada perdagangan sisa antarabangsa tidak dapat diselesaikan oleh negara pengimport sahaja. Negara maju mestilah mengambil tanggungjawab bagi sisa mereka sendiri, dan kita perlu menghentikan penjajahan sisa dengan mengharamkan perdagangan sisa,” kata Meenakshi Raman, Presiden SAM, dalam ucapan penutup.

Dikeluarkan oleh:

Center to Combat Corruption & Cronyism (C4 Center)
Untuk maklumat lanjut, hubungi 012-379 2189 / 03-7660 5140

Sahabat Alam Malaysia (SAM) 
Untuk maklumat lanjut, hubungi 012-878 2706 

Terkini

Testimoni

Sokonglah misi kami

Mainkanlah peranan anda untuk alam sekitar dengan memberikan sumbangan anda. Setiap sumbangan anda akan membolehkan pertubuhan kami memberikan impak yang lebih tinggi terhadap keadilan dan alam sekitar.