Ramai wanita di seluruh pelosok dunia dalam pelbagai lapisan masyarakat sering mengalami pergelutan dalam kehidupan harian mereka. Setiap pergelutan yang dihadapi oleh wanita adalah mengikut gaya hidup, status sosial, ekonomi, kebudayaan, bangsa, agama dan pelbagai aspek kehidupan yang lain. Malah di Malaysia, seorang wanita perlu mengharungi pelbagai rintangan dan kekangan yang tidak terkira demi mencapai matlamat hidup mereka. Namun bagaimanapun, di banyak tempat, seorang wanita dalam sesebuah masyarakat yang dikuasai oleh sistem patriarki yang sedia ada terpaksa bertungkus-lumus untuk berjaya atau untuk mendapat pengiktirafan bagi usaha-usaha beliau.
Sempena Hari Wanita Sedunia pada 08 Mac 2021, kami ingin memperkenalkan seorang wanita berusia 55 tahun, yang bernama Noor Aini Binti Mat Isa yang lebih dikenali sebagai Kak Nor. Kak Nor memilih untuk menjadi seorang nelayan pantai, semenjak era 70-an. Beliau menjalani kehidupan hariannya sebagai seorang nelayan selama hampir 4 dekad di Kuala Bagan Tiang, Kerian, Perak. Setiap hari, Kak Nor akan menahan bubu untuk menangkap ketam, memungut kerang, lokan dan pelbagai jenis sesiput yang lain.
Rutin harian Kak Nor selalu bermula pada awal pagi di pasar Tanjung Piandang di mana beliau akan menjual hasil tangkapan yang diperolehi sehari sebelumnya. Pelanggan harian beliau terdiri daripada orang awam dan rakan-rakan nelayan beliau. Pada masa tengah hari, sejurus selepas selesai dengan penjualan hasil tangkapan harian, Kak Nor akan menuju ke hutan bakau yang berhampiran untuk menahan bubu, dan aktiviti ini akan berlarut sehingga petang. Selepas itu beliau akan pergi ke tapak semaian hutan bakau untuk menanam anak benih pokok bakau dan juga untuk menguruskan kawasan tapak semaian tersebut.
Rutin harian Kak Nor jelas menunjukkan bahawa beliau sedang menerajui satu gaya hidup yang berprinsip. Beliau memilih untuk menjadi nelayan bukan semata-mata untuk mencari rezeki, malah beliau berhasrat untuk mewujudkan satu perbezaan di dunia. “Sektor perikanan ini banyak dikuasai dan dimonopoli golongan lelaki. Wanita juga mampu melibatkan diri mereka dalam bidang ini, malah boleh jadi setanding dengan kaum lelaki. Apa yang perlu ialah semangat dan minat yang tinggi dalam bidang ini.”
Kata-kata Kak Nor memang benar, jika seseorang wanita mempunyai minat dan semangat tinggi serta sanggup bekerja keras dalam apa jua bidang pun, wanita tersebut akan semestinya berjaya. Kak Nor juga amat arif tentang kepentingan sektor perikanan dan pengaruh sektor tersebut dalam ekonomi negara kita. Beliau berpendapat bahawa wanita juga dapat menjadikan aktiviti perikanan sebagai sumber pendapatan mereka. Selain dari itu, penentangan stereotaip telah menjadi bagai satu misi dalam kehidupan Kak Nor. Kenyataan bahawa “kerja-kerja berat yang membabitkan pengunaan tenaga badan hanya boleh dilakukan oleh golongan lelaki”, ini telah menjadi sebagai satu norma di seluruh dunia, seperti mana sektor perikanan juga dianggap begitu.
Tetapi untuk seorang wanita yang berhasrat untuk menentang segala cabaran secara habis-habisan seperti Kak Nor, segala stereotaip yang meyelubungi sektor perikanan telah dirempuh olehnya. Beliau juga menyuara dengan penuh keyakinan bahawa golongan wanita mempunyai segala kebolehan untuk melaksanakan tugas ataupun kerja tanpa sebarang masalah yang mana dipercayai hanya boleh dilakukan oleh golongan lelaki.
Pada Hari Wanita Sedunia tahun ini, kami memberi penghormatan kepada Kak Nor, nelayan wanita yang merupakan tanda harapan dan mewakili ramai wanita yang kuat dan yakin. Kak Nor telah dan sedang dengan jayanya menjalani kehidupan yang amat progresif dari segi sosial dan juga dari segi pemeliharaan alam sekitar. Sebagai seorang ibu tunggal, beliau bukan hanya menyumbang tenaga dan bantuan kepada keluarganya sahaja, malah dia juga telah mengambil maklum tentang kepentingan untuk memelihara dan memulihara alam sekitar dan ekosistem kita, yang bagi SAM adalah perkara yang amat mulia yang seseorang boleh lakukan.