Projek perintis bagi cadangan perlombongan dan benefisiasi atau penceriaan deposit jerapan ion unsur lantanida di kawasan seluas kira-kira 5,339 ekar (2,161) hektar di Mukim Kenering, Daerah Hulu Perak, Perak Darul Ridzuan akan dimulakan tidak lama lagi. Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) telah dipamerkan untuk semakan awam pada Ogos 2021 dan laporan EIA ini telah diluluskan pada 11 Mei 2022 walaupun terdapat kelemahan yang serius.
Seperti yang dilaporkan dalam laporan EIA, projek itu terletak di dalam Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS) Tahap 1 di bawah Rancangan Fizikal Negara (RFN), yang disediakan di bawah Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976. Tapak projek ini juga merupakan sebahagian daripada Central Forest Spine 1 – Rangkaian Utama 8 (CFS1-PL8), yang menghubungkan Hutan Simpan Kenderong, Hutan Simpan Bintang Hijau (Hulu Perak), dan Hutan Simpan Belukar Semang.
Projek ini perlu dihentikan. Alasan kenapa projek ini harus dihentikan terkandung di dalam dokumen terbitan Sahabat Alam Malaysia (SAM), yang boleh anda akses di sini.