Sahabat Alam Malaysia (SAM) bimbang Pantai Kok di Pulau Langkawi, Kedah tercemar berikutan kerja-kerja penambakan kawasan pantai dan penerokaan hutan yang berlaku di tempat itu ketika ini.
Dalam tinjauan yang dibuat, SAM mendapati kawasan tersebut sedang pesat membangun bagi melaksanakan projek pelancongan dan kerja-kerja asas oleh pemaju yang terlibat telah bermula sejak beberapa bulan lalu.
SAM terkejut dan kesal melihat kesan lumpur yang mendap di kawasan pantai di sini dipercayai berpunca akibat hakisan tanah dari tapak projek yang sedang berjalan. Keadaan ini akan menjadi lebih teruk ketika hujan dan jika tidak dikawal masalah pencemaran laut akan berlaku dengan serius pada masa akan datang.
SAM menggesa kerajaan Kedah, Majlis Perbandaran Langkawi (MPL) dan Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) menjalankan siasatan serta mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan tidak berlaku sebarang ancaman yang lebih buruk ke atas alam sekitar di kawasan ini.
SAM menegaskan, alam semulajadi Pantai Kok perlu dikekalkan dan membantah sebarang aktiviti pembangunan yang melibatkan kemusnahan hutan, mencemarkan laut dan kawasan pantai serta mengancam ekosistem marin.

SAM meminta Jabatan Perhutanan Negeri Kedah menyiasat sama ada kawasan hutan berhampiran Pantai Kok yang terlibat dengan aktiviti pembangunan di sini merupakan Hutan Simpan Kekal (HSK) atau sebaliknya.
Jika berlaku pencerobohan kawasan hutan di sini tindakan undang-undang di bawah Akta Perhutanan Negara 1984 perlu diambil ke atas pihak terbabit.
SAM mendapat tahu, dua pulau buatan akan turut dibina di laut Pantai Kok dan ia mungkin mencetuskan kesan yang lebih buruk ke atas alam sekitar, sumber perikanan dan kehidupan nelayan tempatan.
Justeru, SAM menggesa pihak terbabit memberi perhatian serius terhadap perkara ini dan mengambil tindakan segera agar alam sekitar semulajadi Pantai Kok kekal terpelihara.
S.M.MOHAMED IDRIS
Presiden