JAGUNG GMO, MON87429 BERISIKO MENCEMARKAN GENETIK TANAMAN JAGUNG ASLI: 23 NGO GESA PERMOHONAN DIBATALKAN

Kenyataan akhbar ini dikeluarkan oleh Forum Kedaulatan dan Keselamatan Makanan (FKMM) di mana SAM adalah ahli forum ini

corn, corncob, food-311835.jpg

Kami amat bimbang dengan hebahan terkini di laman web Jabatan Biokeselamatan Kebangsaan (JBK), Kementerian Alam Sekitar dan Air  (KASA)yang sedang menilai satu permohonan dari pihak Bayer Co. (Malaysia) Sdn. Bhd untuk mengimport dan melepaskan jagung resistan racun rumpai, MON87429 yang telah diubah suai secara genetik (GMO). Tujuan pengimportan jagung ini adalah untuk dibekalkan atau dijual di pasaran untuk kegunaan langsung sebagai makanan, makanan ternakan dan untuk pemprosesan (FFP). Ini bermakna jagung MON87429 ini boleh masuk ke Malaysia sebagai bijirin, bahan makanan untuk pemprosesan atau pembungkusan atau sebagai produk siap sedia untuk diedarkan, atau sebagai bahan makanan untuk ternakan.

Jagung GMO yang akan diimport ini berasal dari jagung biasa Zea mays dengan ciri tambahan toleran terhadap racun dicamba, glufosinate, perencat aryloxyphenoxypropionate (AOPP) acetyl coenzyme A carboxylase (ACCase) dan 2,4-dichlorophenoxyacetic acid (2,4-D)Jagung GMO ini dihasilkan melalui teknologi pengubahsuaian genetik dengan mencampurkan bahan DNA daripada jagung dan empat bakteria yang menjadi organisma penderma (donor organism) iaitu Stenotrophomonas maltophilia, Streptomyces viridochromogenes, Sphingobium herbicidovorans, dan Agrobacterium sp. strain CP4.

Permohonan untuk pengimportan dan penjualan jagung ini menimbulkan kebimbangan serius terhadap kesannya kepada manusia dan alam sekitar.Sejak tahun 2010 terdapat kelulusan lain untuk penggunaan FFP jagung yang telah diubahsuai genetik selain daripada GM kacang soya, kentang, bit gula, kapas, biji minyak rape dan kanola.

Wujud risiko pencemaran genetik terhadap jagung konvensional yang ditanam diladang-ladang serta jagung yang ditanam di kawasan rumah dan kebun-kebun dengan bahan transgenik diubahsuai ini apabila ia mula diedarkan ke dalam pasaran. Walaupun pihak pengimport mendakwa bahawa potensi penyebaran jagung GMO ini kepada alam sekitar adalah terhad kepada kejadian tumpahan ketika mengendalikan jagung ini dan menyatakan bahawa ia tidak mampu bercambah kerana jagung ini memerlukan keadaan persekitaran yang optimum seperti diladang, ia tetap tidak boleh dipandang ringan. 

Ketika ini, walaupun bukan tanaman utama negara, jagung ditanam secara meluas dikebanyakan kawasan di Malaysia kerana ia mudah tumbuh dan sesuai dengan keadaan cuaca panas dan lembap disini. Jagung ialah spesies tumbuhan pendebungaan terbuka (angin & serangga). Ia akan dengan mudah bersilang biak dengan jagung di kejiranan yang sama. Apatah lagi jika ada pihak yang tidak bertanggungjawab memproses benih danmenanam jagung GMO ini tanpa pengetahuan pihak berkuasa. Malah, menurut GM Contamination Register, sehingga 2014 tanaman jagung mempunyai bilangan kedua tertinggi insiden pencemaran GMO iaitu sebanyak 25% atau 98 insiden selepas padi (34% atau 134 insiden).

Jagung MON87429 ini direka khas supaya toleran kepada racun-racun pertanian dan sudah tentulah mempunyai kebarangkalian untuk hidup yang lebih tinggi apabila kawasan dimana jagung ini tumbuh dikawal semburan racun. Sepertimana yang berlaku terhadap varieti padi MR220 CL2 yang bersilang biak dengan padi angin, kejadian yang sama juga berpotensi untuk berlaku terhadap jagung GMO ini.

Proses pengubahsuaian genetik diketahui tidak stabil dan boleh mendatangkan perkara yang tidak diingini yang tidak terkawal. Sebagai contoh, terdapat kajian yang menunjukkan genetik yang diubahsuai ini telah mengubah tahap metabolit dalam padi dan jagung yang toleran kepada racunrumpai. Tanaman tersebut menghasilkan sebatian toksik kepada manusia dalam konteks tertentu.

Terdapat sangat sedikit maklumat mengenai varieti jagung GMO ini. Tiada butiran terbuka di peringkat molekul yang tersedia untuk memastikan bahawa pengubahsuaian genetik jagung GMO ini tidak menyebabkan sebarang kesan yang tidak diingini. Jika tidak ada bukti sedemikian sikap berhati-hati mestilah diambil sepertimana yang disyaratkan dalam Protokol Biokeselamatan Cartagena yang ditandatangani Malaysia pada tahun 2003.  Dengan ini jagung GMO MON87429 keluaran Bayer ini tidak harus diluluskan untuk pengimportan dan pengedaran di Malaysia. Kami juga menggesa Lembaga Biokeselamatan Kebangsaan untuk membatalkan kesemua kelulusan GMO ataupun produk GMO sebelum ini.  

Nurfitri Amir Muhammad 
Koordinator
bagi pihak Forum Kedaulatan Makanan Malaysia (FKMM)


Senarai sokongan anggota FKMM dan lain-lain organisasi

  1. Consumers’ Association of Penang (CAP)
  2. Frangipani Natural Farm
  3. Greenpeace Malaysia
  4. Ikatan Intelegensia Membangun Malaysia (IIMAM)
  5. Komuniti Pondok Sukun (Kompos)
  6. Malaysian Institute of Sustainable Agriculture (MISA)
  7. Natural Farming Association of Malaysia (NFAM)
  8. Organic Alliance Malaysia (OAM)
  9. Persatuan Melayu Marudi (PMM)
  10. Persatuan Penduduk Iban Marudi, Baram (PPIMB)
  11. Persatuan Penduduk Kampung Uma Bawang (PPKUB) 
  12. Persatuan Penduduk Rumah Labang Nanga Seridan Tinjar Beluru Miri (PPRLNSTBM)
  13. Persatuan Penduduk Sungai Buri Bakong Marudi (PPSBBM)
  14. Persatuan Penduduk Sungai Melikat Marudi, Baram (PPSMMB)
  15.  Persatuan Usahawan Tani Cinta Alam Kelantan (PUNCAK)
  16. Persatuan Agroekologi Malaysia (SRI-Mas)
  17. Pertubuhan Alam Sekitar Sejahtera Malaysia (GRASS Malaysia)
  18. Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam (PEKA)
  19. Pertubuhan Pembangunan Antarabangsa & Penyelidikan Untuk Kelestarian (IDRIS Assc.)
  20. Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH)
  21. Pertubuhan Rangkaian Pembangunan Kesinambungan Malaysia (SUSDEN Malaysia)
  22. Sahabat Alam Malaysia (SAM)
  23. Third World Network (TWN)

Terkini

Testimoni

Sokonglah misi kami

Mainkanlah peranan anda untuk alam sekitar dengan memberikan sumbangan anda. Setiap sumbangan anda akan membolehkan pertubuhan kami memberikan impak yang lebih tinggi terhadap keadilan dan alam sekitar.