Sahabat Alam Malaysia (SAM) menolak cadangan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri G. Palanivel untuk memberi lesen menduduki sementara (TOL) kepada pengusaha-pengusaha ladang pertanian yang dibuka secara haram di Gunung Yong Belar, Cameron Highlands.
Cadangan ini seolah-olah memberikan ‘lampu hijau’ kepada pengusaha-pengusaha ini untuk terus bermaharajalela memusnahkan alam sekitar yang semakin serius di Cameron Highlands. Tindakan sewajarnya patut dikenakan kepada pengusaha-pengusaha yang tidak bertanggungjawab ini mengikut Seksyen 425, Kanun Tanah Negara 1965 yang melakukan aktiviti tanpa kebenaran di atas tanah rizab kerajaan.
Isu penerokaan haram di Cameron Highlands bukan isu baru. Banyak masalah timbul akibat kerakusan aktiviti penerokaan haram ini. Kawasan tanah tinggi merupakan kawasan yang sangat sensitif. Pembangunan di kawasan tanah tinggi perlu dikawal dengan tegas bagi melindungi keselamatan awam dan mengekalkan kualiti persekitaran dan biodiversiti.
Rancangan Fizikal Negara ke-2 menyatakan kawasan tanah tinggi berkontur 300m – 1000m dikategorikan sebagai Kawasan Sensitif Alam Sekitar Tahap 2. Kategori ini melarang sebarang aktiviti pembangunan atau pertanian dijalankan di kawasan tanah tinggi.
Aktiviti pembaikpulihan dengan penanaman semula perlu digerakkan segera untuk memulihara kawasan yang telah diceroboh. Pencerobohan perlu dikekang dan dibanteras dengan memperbanyakkan operasi penguatkuasaan. Kawasan berhutan perlu dikekalkan dan ditambah bagi menstabilkan iklim negara dalam menghadapi perubahan iklim.
SAM bersetuju dengan pihak Kementerian untuk mewujudkan Pusat Operasi Mini bagi memantau dan mengawal kegiatan penerokaan tanah tinggi dan kawasan sekitar secara haram untuk pertanian. Penguatkuasaan perlu ditingkatkan untuk memastikan tiada lagi penerokaan haram.
S M Mohamed Idris
Presiden