Baru-baru ini Lynas Malaysia, melalui Gading Senggara Sdn. Bhd. (syarikat yang dilantik untuk mengendalikan Kemudahan Pelupusan Kekal) telah menyediakan satu Laporan Penilaian Kesan Alam Sekeliling (EIA) bagi satu cadangan untuk membina sebuah Kemudahan Pelupusan Kekal (PDF) bagi sisa Water Leach Purification (WLP) di atas Lot 31375, Gebeng Industrial Estate, di Kuantan, Pahang. Lokasi PDF yang dicadangkan ini terletak di atas tanah gambut dan Gebeng adalah kawasan yang terdedah kepada banjir dan kebakaran tanah gambut. Tanah gambut adalah sinki karbon penting, ekosistem takungan air yang menyokong spesies tumbuhan dan haiwan yang unik selain menyediakan pelbagai fungsi.
Jabatan Alam Sekitar telah mengeluarkan notis penyertaan awam bagi proses EIA ini. Tempoh terakhir untuk menghantar ulasan-ulasan adalah pada 30 November 2021.

Sahabat Alam Malaysia dan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) telah menyemak EIA ini dan telah menghantar ulasan-ulasan kami kepada pihak JAS.
Berdasarkan semakan kami dan rundingan dengan pakar, kami berpandangan bahawa EIA ini tidak boleh diluluskan kerana ia tidak mematuhi Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (TCPA) dan atas sebab-sebab berikut:
- PDF Sisa Radioaktif yang dicadangkan tidak mengikut proses undang-undang yang sewajarnya dalam mendapatkan nasihat Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN), seperti yang dikehendaki di bawah seksyen 20B Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976.
- Klasifikasi WLP sebagai Sisa Radioaktif Tahap Rendah (LLW) dalam laporan Western Australia Environmental Protection Authority (EPA) mengenai Kemudahan Pemprosesan Nadir Bumi Kalgoorlie Lynas (Oktober 2021) menunjukkan penggunaan ‘double standard’ oleh Lynas. Ia didapati bahawa terdapatnya standard yang lebih ketat untuk klasifikasi sisa radioaktif di Australia dan standard yang kurang ketat di Malaysia.
- Salah tafsir laporan International Atomic Energy Agency (IAEA) untuk mengklasifikasikan WLP sebagai VLLW.
- Laporan EIA gagal mengambil kira kesan perubahan iklim, khususnya berkaitan dengan cuaca monsun ekstrem yang diramalkan bakal meningkat dan risiko banjir.
- Tiada kajian terperinci tentang pembinaan PDF di kawasan gambut.
- Risiko ketidakstabilan, penenggelaman dan kegagalan cerun.
- Lapisan HDPE dan reka bentuk PDF tidak menjamin Kemudahan Pelupusan “Kekal”.
- Terdapat kelemahan serius dalam pemodelan hidrogeologi.
- Kenyataan bercanggah dalam EIA mengenai penggunaan air bawah tanah oleh penduduk kampung berhampiran.
- Pensampelan air larian Water Leach Purification (WLP) Residue Storage Facility (RSF) harus mengambil kira musim-musim kering dan basah untuk memberikan pencirian yang lebih tepat mengenai air sisa yang bakal dijana di tapak projek ini.
- Keperluan untuk mendedahkan data pemantauan sepenuhnya dari Lynas Advance Materials Plant (LAMP).
- Kebimbangan terhadap kecekapan syarikat Gading Senggara untuk menguruskan salah satu Kemudahan Pelupusan Kekal terbesar di dunia.
- Keperluan untuk EIA menyediakan maklumat lanjut mengenai pelan penyahtauliahan (decommissioning), pasca penutupan dan/atau pengabaian.
Butiran lanjut boleh didapati dari ulasan SAM dalam Bahasa Inggeris di sini.
Kami menyeru agar orang awam menyertai proses penyertaan awam ini secara beramai-ramai. Hantarlah ulasan-ulasan anda pada atau sebelum pukul 5 petang (waktu tempatan) hari Selasa bersamaan 30 November 2021 melalui borang penyerahan di atas talian di sini atau anda juga boleh menggunakan pautan JAS untuk memberikan maklum balas dan kebimbangan anda di sini.