Sahabat Alam Malaysia (SAM) terkejut dengan satu kejadian tanah runtuh yang berlaku di Pusat Falak Sheikh Tahir, Jalan Pantai Acheh, Balik Pulau, Pulau Pinang baru-baru ini.
Dari sumber info yang kami perolehi menyatakan punca kejadian adalah disebabkan oleh kegagalan stone pitching bagi protection slope (perlindungan cerun) akibat hujan lebat sehingga menyebabkan batu- batu besar gelongsor.
Malah info dari sumber yang sama juga menerangkan pihak Jabatan Mufti pada tahun 2016 atau 2017 telah diberi cadangan untuk penambahbaikan protection slope di kawasan tersebut namun mungkin disebabkan oleh beberapa faktor yang dikemukakan oleh pihak IKRAM dan Cawangan Cerun JKR Kuala Lumpur menyebabkan pihak Jabatan Mufti menolak atau tidak memberi kelulusan bagi cadangan tersebut.
Walaupun terdapat maklumat mengenai keselamatan bangunan kerana tiada kerosakan pada struktur bangunan, kami berpendapat perkara ini perlu diteliti dan dikaji secara mendalam kerana bila melibatkan runtuhan tanah bukit, kita perlu berhati-hati kerana kesan sampingan daripada runtuhan berkemungkinan besar akan kembali berlaku.
Perkara ini perlu diberikan perhatian serius oleh pihak Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Jabatan Mufti Negeri Pulau PInang serta Pusat Falak Sheikh Tahir yang mana kerosakan yang berlaku perlu dibaik pulih dengan segera untuk menjamin keselamatan dan kestabilan cerun. Tindakan mitigasi perlu dilakukan agar masalah ini tidak lagi berulang di masa akan datang. Sekiranya melibatkan penduduk-penduduk yang berdekatan mereka perlu dipindahkan.
SAM berpandangan bahawa setiap cerun haruslah sentiasa diperiksa bagi memastikan ianya kukuh agar perkara-perkara yang membabitkan hakisan atau kejadian tanah runtuh tidak berlaku dengan mudah, lebih-lebih lagi dengan perubahan iklim yang mana kita akan berhadapan dengan ribut serta hujan lebat yang lebih kerap.
Disebabkan perkara sebegini jugalah SAM mengulangi pendirian kami tidak menyokong sebarang pembangunan yang melibatkan kawasan cerun atau lereng bukit kerana bimbang perkara-perkara yang tidak dingini berlaku serta memusnahkan ekosistem bukit.
Meenakshi Raman
Presiden