Sahabat Alam Malaysia (SAM) merasa amat bimbang apabila mengetahui pengumuman oleh Ketua Menteri Pulau Pinang bahawa projek kereta kabel ke Bukit Bendera (Penang Hill) telah dianugerahkan kepada Hartasuma Sdn. Bhd., dengan anggaran pelaburan RM245 juta dan berdasarkan tempoh konsesi 30 tahun dan akan ditempatkan di kawasan Taman Kebun Bunga (Botanical Gardens).
SAM bersama-sama dengan NGO lain termasuk Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), pada tahun lepas telah membangkitkan kebimbangan kami mengenai cadangan projek kereta kabel dalam apa yang ketika itu ialah draf Rancangan Kawasan Khas (SAP) untuk Bukit Bendera.
Kami membantah keperluan untuk kereta kabel memandangkan kemampuan ekosistem Bukit Bendera untuk mendukung kehidupan makhluk yang ada di dalamnya yang terhad dan juga telah mencabar dengan serius unjuran dalam draf SAP mengenai bilangan orang yang harus dibenarkan di Bukit Bendera pada satu-satu masa.
Kajian awal kebolehlaksanaan untuk kereta kabel mendorong sejumlah 6,463 orang pada satu-satu masa untuk mewajarkan projek kereta kabel berdasarkan metodologi yang cacat, manakala SAP untuk Bukit Bendera pada 2016 menyediakan angka kemampuan ekosistem Bukit Bendera untuk mendukung kehidupan makhluk yang ada di dalamnya hanya 4,800 orang pada satu-satu masa. Cabaran kami berhubung perkara ini tidak mendapat maklum balas sama sekali.
Jika angka pada 2016 digunakan iaitu seramai 4,800 orang, maka tidak ada keperluan untuk kereta kabel, kerana kereta api funikular sudah memadai.
Kebimbangan kami dalam membantah kereta kabel berpunca daripada keperluan untuk memastikan kelestarian alam sekitar dan biodiversiti, pengurusan dan pemuliharaan Bukit Bendera, terutamanya memandangkan pengiktirafannya sebagai Rizab Biosfera UNESCO.
Objektif keseluruhan adalah untuk mengehadkan bilangan pelancong ke atas Bukit Bendera, memandangkan keperluan alam sekitar dan tidak memerlukan lebih banyak produk pelancongan dan orang ramai di atas Bukit Bendera.
Kebimbangan kami ialah daya maju ekonomi berterusan kereta kabel akan memerlukan lebih ramai pelancong dan lebih banyak produk pelancongan di Bukit Bendera, melebihi kemampuan ekosistem Bukit Bendera untuk mendukung kehidupan makhluk yang ada di dalamnya dengan maksimum 4,800 orang pada satu-satu masa, seperti dalam SAP 2016.
Di samping itu, Kerajaan Negeri, dalam memutuskan bahawa kereta kabel akan bermula di Taman Kebun Bunga juga akan menjejaskan integriti alam sekitar Taman itu.
Kami amat bimbang mengenai kesan alam sekitar dan sosial, termasuk kesesakan lalu lintas daripada pembinaan kereta kabel dan penyelenggaraannya, yang melibatkan stesen bawah sehingga ke stesen atas.
Bukit Bendera dan Taman Kebun Bunga merupakan ekosistem alam sekitar yang sangat sensitif. Kami amat bimbang projek kereta kabel akan menjejaskan kawasan sensitif ini dengan teruk.
Penilaian kesan alam sekitar dan sosial yang terperinci amat diperlukan seperti yang dikehendaki oleh undang-undang, yang mestilah melibatkan perundingan awam dan ketelusan.
Selain daripada kesan alam sekitar dan sosial, Kerajaan Negeri, dalam memberikan konsesi 30 tahun kepada syarikat itu mestilah telus dalam menjelaskan butiran pembiayaan yang terlibat. Apakah harga tiket yang akan dikenakan kepada orang ramai berhubung perkara ini?
Kerajaan Negeri Pulau Pinang perlu telus berhubung kebimbangan ini.
Meenakshi Raman
President