Tahukah anda bahawa kurang daripada 10% plastik yang kita gunakan dan buang telah dikitar semula, manakala 14% telah dibakar dan 76% telah dibuang di tapak pelupusan sampah atau dilepaskan ke alam sekitar sejak 1950. Pengeluaran plastik telah meningkat kepada 460 juta tan dalam 2019 dan seterusnya penjanaan sisa plastik juga semakin meningkat. Di seluruh dunia, hampir 8 juta tan sisa plastik memasuki lautan setiap tahun (OSPAR Commission 2017). Contoh sisa plastik yang berasal dari darat adalah beg plastik, botol plastik, puntung rokok, bekas plastik makanan dan minuman, lampin bayi, dan sebagainya.

Lautan menyokong sehingga 80% daripada biodiversiti Bumi dan menyediakan sumber protein utama untuk manusia. Tetapi, hidupan marin kini semakin terjejas akibat pencemaran plastik. Hal ini kerana 80% sisa dalam laut terdiri daripada plastik. Menurut kajian Wilcox et.al (2018), 52% daripada penyu di dunia telah tersilap memakan sisa plastik. Hal ini kerana plastik yang terapung kelihatan seperti sumber makanan utama mereka contohnya obor-obor, rumput laut atau alga. Lama-kelamaan penyu akan sesak nafas dan mati kerana plastik tidak boleh dihadam. Sama seperti penyu, burung laut yang memakan ikan juga secara tidak sengaja akan tersilap memakan sisa plastik. Apabila plastik memenuhi perut mereka, perut mereka tidak akan mempunyai ruang untuk makanan, dan ini akan menyebabkan burung laut mati kerana kelaparan.
Apabila kepingan plastik yang lebih besar terurai kepada kepingan yang lebih kecil, mikroplastik akan terbentuk. Mikroplastik adalah sangat kecil dan memberi kesan buruk kepada organisma marin. Mikroplastik akan memasuki rantai makanan marin dan menyebabkan pengambilan makanan berkurangan, tumbesaran terbantut, kerosakan oksidatif, pembiakan berkurangan, dan tingkah laku yang tidak normal pada organisma marin. Memakan makanan laut adalah satu laluan untuk pendedahan mikroplastik manusia.
Selain itu, pukat dan tali berasaskan plastik juga mengancam hidupan laut dengan menjerut mereka. Menurut Tabung Alam Sedunia, setiap tahun 300,000 ikan paus dan ikan lumba-lumba secara tidak sengaja tersangkut dalam pukat ikan yang terbiar. Organisma marin yang malang ini tidak akan dapat melepaskan diri dari jaring dan perlahan-lahan akan mati akibat kelaparan, lemas, atau keletihan.
Enzo Visca, seorang pelajar Universiti Sains Malaysia yang baru-baru ini melawat ke Semporna, Sabah terkejut apabila melihat sampah yang dibuang di sekitar perkampungan terapung Kampung Simunul. Sampah yang dibuang seperti bahan plastik pasti akan memasuki laut.

Memandangkan pencemaran sampah dalam laut semakin serius, Kementerian Alam Sekitar dan Air dengan sokongan teknikal daripada Institut Maritim Malaysia (MIMA) telah membangunkan Dasar dan Pelan Tindakan Sisa Marin Kebangsaan 2021-2023 untuk menangani isu tersebut. Tiga sasaran untuk tindakan di peringkat kebangsaan adalah mengurangkan jumlah dan kesan sisa pepejal dari daratan, sisa pepejal di laut, dan sisa marin dari pinggir pantai ke laut. Kita memerlukan usaha dan tindakan bersepadu untuk menangani isu sampah marin di Malaysia dan di peringkat global.
Untuk menyelamatkan dunia dan lautan kita daripada plastik, semua negara mesti membangun dan melaksanakan infrastruktur pengurusan sisa yang berkesan untuk memastikan semua sisa dan plastik akhir hayat dipulihkan dan ditangani dengan selamat. Bersama-sama, kita mesti membersihkan dan melindungi lautan kita!
Artikel di atas disumbang oleh Un Jun Min, pelajar latihan di SAM
Rujukan
[1] End Plastic Pollution by 2040 | High Ambition Coalition. https://hactoendplasticpollution.org/
[2] OSPAR Commission (2017) Assessment document of land-based inputs of microplastics in the marine environment.
[3] Wilcox, C., Puckridge, M., Schuyler, Q, A., Townsend, K., Hardesty, B, D. (2018). A quantitative analysis linking sea turtle mortality and plastic debris ingestion. Retrieved from https://www.nature.com/articles/s41598-018-30038-z
[4] Johnson, C. (2021) Whales and the plastics problem | WWF. Retrieved from https://www.worldwildlife.org/stories/whales-and-the-plastics-problem
[5] Li, Y., Sun, Y., Li, J., Tang, R., Miu, Y., Ma, X. (2021) IOP Conference Series: Earth and Environmental Science Research on the Influence of Microplastics on Marine Life. Retrieved from https://iopscience.iop.org/article/10.1088/1755-1315/631/1/012006/pdf#:~:text=Marine%20microplastics%20will%20affect%20many,oxidative%20damage%20and%20abnormal%20behavior
[6] Ministry of Environment and Water. National Marine Litter Policy and Action Plan 2021-2030.