Pada hari ini, Sahabat Ulu Muda (FoUM) telah menghantar surat kepada Menteri Besar Kedah, Ketua Menteri Pulau Pinang dan salinan kepada Perdana Menteri Malaysia berhubung dengan pertikaian di antara kedua-dua kerajaan negeri Kedah dan Pulau Pinang mengenai hak kepada bekalan air mentah dari Sungai Muda membabitkan bekalan air bagi kegunaan penduduk di kedua-dua negeri. FoUM mencadangkan agar kedua-dua kerajaan negeri Kedah dan Pulau Pinang mengambil empat langkah berikut untuk menyelesaikan pertikaian ini:
- Melantik pengantara yang bebas, cekap, amanah, dan neutral untuk mengendalikan perbincangan di antara kedua-dua kerajaan negeri;
- Berunding dengan pakar mengenai Bayaran Perkhidmatan Ekosistem (Payment for Ecosystem Services – PES) berasaskan air serta mekanisme mewujudkan skim PES bagi kawasan tadahan air Sungai Muda;
- Berbincang dan mencapai persetujuan bersama mengenai skim PES; dan
- Mewujudkan suatu tabung amanah pemuliharaan Ulu Muda untuk mengendalikan dana yang diterima bagi perlindungan Kompleks Hutan Ulu Muda.
Surat ini telah diindorskan oleh 13 ahli FoUM dan 34 pertubuhan. Surat penuh boleh dimuat turun dan dibaca di sini.