Sahabat Alam Malaysia (SAM) menggesa Menteri Besar Kedah Dato Seri Mukhriz Tun Mahathir campurtangan bagi mengatasi masalah yang dihadapi oleh penduduk-penduduk Kampung Lubuk Batu, Mukim Pelubang dekat Jitra yang terancam kehidupan mereka berikutan operasi kuari pasir di kampung tersebut.
Selain pencemaran habuk, kejadian pergerakan tanah dan rumah retak telah berlaku menyebabkan kalangan penduduk di sini sentiasa bimbang tentang kesihatan dan keselamatan mereka terutama kanak-kanak yang terdedah kepada keadaan yang berbahaya itu.

SAM kesal walau pun masalah ini sudah lama berlaku dan telah beberapa kali aduan dibuat oleh penduduk-penduduk yang terlibat kepada pihak berkenaan namun hingga sekarang tidak ada tindakan yang diambil bagi mengatasinya. SAM percaya jika keadaan tersebut dibiarkan kejadian yang tidak diingini boleh berlaku pada masa akan datang.
Sehubungan itu SAM meminta kerajaan Kedah menyiasat masalah yang berlaku di kampung ini dan mengkaji semula kelulusan operasi kuari pasir terbabit berdasarkan kesan buruk yang berlaku dan dihadapi penduduk.
Pejabat Tanah dan Galian (PTG), Pejabat Daerah Kubang Pasu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Pejabat Kesihatan diminta mengambil tindakan sewajarnya serta melakukan pemantauan secara berterusan bagi memastikan kesihatan dan keselamatan penduduk di sini tidak terjejas.
Kajian dan penilaian jumlah kerugian yang dialami penduduk-penduduk kampung ini akibat kerosakan harta benda yang berlaku berikutan operasi kuari pasir tersebut perlu dibuat dan pampasan yang setimpal wajar diberikan kepada mereka yang terlibat.
SAM berpendapat kejadian tanah runtuh, mendapan lumpur, banjir kilat, kemusnahan tanaman, rumah kediaman rosak dan pencemaran udara serta air mungkin berlaku dengan lebih serius di masa depan jika masalah ini dibiarkan berlarutan.
SAM turut meminta kerajaan Kedah mendedahkan hasil siasatan mengenai masalah ini kepada umum dan tindakan yang diambil ke atas pemilik permit serta pengusaha kuari pasir terbabit. SAM berpendapat tindakan undang-undang yang tegas serta hukuman berat dikenakan ke atas pihak yang didapati melanggar peraturan-peraturan yang termaktub di bawah akta berkaitan supaya masalah yang dihadapi oleh penduduk-penduduk kampung ini tidak berulang.
S.M.MOHAMED IDRIS
Presiden