Nasib lebih 5,000 nelayan pantai di seluruh Pulau Pinang kini bagaikan telur di hujung tanduk berikutan pelaksanaan serta perancangan projek penambakan laut dan kejadian pencemaran yang semakin serius berlaku di perairan negeri ini.
Walau pun masalah-masalah pencemaran dan pembangunan di persisiran pantai sudah sekian lama membelenggu kehidupan golongan nelayan namun ianya tidak mendapat perhatian sewajarnya sama ada dari kerajaan negeri mahu pun jabatan serta agensi yang terlibat.
Mengulas laporan akhbar tempatan (The Star 28 May 2019 ) berkaitan isu berkenaan, Sahabat Alam Malaysia (SAM) memandang serius dan semakin bimbang kerana perairan Pulau Pinang bukan saja diancam oleh pencemaran sampah sarap, sisa buangan kilang, air kumbahan, lumpur dan najis babi tetapi juga bahan kimia yang meracuni dan membunuh hidupan laut serta berpotensi menjejas kesihatan awam.
Menurut analisis sampel air dari perairan Teluk Bahang dua minggu lalu oleh Jabatan Kimia Univerisiti Sains Malaysia (USM), kandungan logam berat nikel adalah 944% lebih daripada standard 0.005 ppm dalam air laut. Kandungan plumbum dan kadmium juga dilaporkan tinggi pada 0.804 ppm dan 0.065 ppm (standard = 0.002) masing-masing.
Orang ramai dan nelayan yang ditemui oleh SAM merasa terkejut dengan laporan tentang pencemaran logam berat tersebut di perairan Teluk Bahang dan berharap langkah segera dapat diambil oleh pihak kerajaan bagi mengawal pencemaran ini dari terus merebak serta memberikan kesan lebih buruk ke atas alam sekitar, kehidupan nelayan dan kesihatan pengguna. Pengguna juga telah menghubungi SAM untuk mengetahui sama ada ianya selamat untuk makan ikan yang ditangkap di kawasan ini.
Tinjauan SAM sejak 10 tahun yang lalu mendapati ikan, udang, kerang, siput dan ketam yang menjadi sumber tangkapan utama nelayan pantai di negeri ini telah berkurangan dan diancam kepupusan. Manakala sumber pendapatan mereka telah merosot antara 50% hingga 70% setiap kali turun ke laut.
Perairan di lima daerah di negeri ini yang terdedah kepada ancaman pencemaran dan pelbagai pembangunan termasuk penambakan ialah di Daerah Barat Daya,Timur Laut, Seberang Perai Utara (SPU), Seberang Perai Tengah (SPT) dan Seberang Perai Selatan (SPS).
SAM kesal sehingga kini tidak ada pendedahan yang dibuat oleh jabatan dan agensi berkaitan tentang tahap pencemaran laut yang berlaku di perairan Pulau Pinang sehingga menimbulkan persoalan orang ramai apa yang dilakukan oleh pihak berkuasa kerajaan selama ini.
Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah mula menjalankan pengawasan kualiti air marin bermula pada tahun 1978 di Semenanjung Malaysia dengan tujuan untuk mengenalpasti status kualiti air marin dan menentukan tahap pencemaran daripada punca-punca di daratan dan juga di laut. Kami tertanya-tanya kenapa pihak JAS tidak mendedahkan isu pencemaran ini lebih awal walhal analisis kualiti air marin sudah pasti dibuat.
SAM percaya jika kerajaan negeri, jabatan dan agensi yang terlibat terus leka terhadap isu alam sekitar dan kesannya ke atas kehidupan nelayan pantai di negeri ini, bukan saja hidupan laut akan pupus malah nelayan dan generasi mereka juga akan lenyap pada masa akan datang.
Justeru SAM menggesa masalah pencemaran di negeri ini ditangani segera dengan mengenalpasti punca pencemaran dan membatalkan rancangan pelaksanaan projek penambakan laut yang bakal melenyapkan kawasan perikanan dan mengancam kehidupan nelayan.
Meenakshi Raman
President