Ini adalah kenyataan bersama Sahabat Alam Malaysia (SAM) dan Persatuan Pengguna Pulau Pinang
Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) dan Sahabat Alam Malaysia (SAM) menggesa Kerajaan Malaysia untuk memenuhi tuntutan Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH) yang telah menyerahkan memorandum kepada enam ahli parlimen dari pelbagai parti kerajaan dan pembangkang pada 17 Mac yang lalu. Memorandum tersebut menggariskan masalah yang dihadapi oleh pesawah serta 14 saranan untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi.
Antara isu utama yang dibangkitkan oleh PeSAWAH ialah usaha Jabatan Pertanian untuk meminda Akta Perlindungan Varieti Baru Tumbuhan 2004 supaya selari dengan Konvensyen International Union for the Protection of New Varieties of Plants (UPOV) 1991. UPOV 1991 bertujuan untuk mengukuhkan monopoli syarikat terhadap benih, sedangkan Akta Perlindungan Varieti Baharu Tumbuhan 2004 sedia ada adalah mencukupi kerana ia menyeimbangkan hak syarikat dan hak tradisi petani. Untuk mematuhi UPOV 1991 sebenarnya bukan sekadar pindaan Akta sedia ada tetapi perubahan asas kepada Akta tersebut.

Kajian menunjukkan UPOV 1991 akan memberikan kesan sampingan kepada petani yang bergantung dengan sistem pengurusan benih-petani dan amalan warisan mereka yang bebas menyimpan, mengguna semula, menukar dan menjual benih sendiri. Selain daripada itu Jabatan Pertanian juga sedang merangka Rang Undang-Undang (RUU) Kualiti Benih Tanaman yang akan mewajibkan setiap individu (petani mahupun bukan petani) memohon lesen untuk memproses benih yang dikategorikan sebagai benih terkawal.
Satu lagi isu utama yang dikemukakan oleh PeSAWAH ialah cadangan pengambilalihan industri padi dan beras secara berperingkat melalui projek Smart Sawah Berskala Besar (Smart SBB). Estet-estet padi yang akan diwujudkan dibawah SMART SBB dibimbangi akan membawa kepada monopoli korporat dalam sektor padi dan beras. Ini adalah menggusarkan kerana padi merupakan isu jaminan makanan dan dengan itu adalah jaminan keselamatan negara.
PeSAWAH bimbang yang pesawah kecil akan diperdaya dengan janji-janji manis untuk menarik minat mereka menyertai estet padi. Pada hakikatnya pesawah akan hilang autonomi dan tanah mereka manakala syarikat peneraju estet pula akan mendapat habuan dari segi subsidi kerajaan yang sedia ada serta monopoli pasaran benih, baja, racun dan jentera yang akan diberikan hak kepada syarikat untuk menguruskannya.
Menurut PeSAWAH, projek Smart SBB ini dijangka meminggirkan ramai petani-petani muda dan juga syarikat kecil tempatan yang komited mengusahakan sawah terbiar; dan akan timbul banyak risiko termasuk tanah tergadai kerana tidak berhati-hati dengan terma dan syarat perjanjian; pengusaha traktor dan jentera sedia ada kehilangan pelanggan; kemasukan pekerja asing yang lebih murah; dan tanah sawah rosak akibat pencemaran racun berleluasa, penggunaan baja kimia secara maksimum; atau tukar guna tanah untuk projek lain.
Isu dan masalah yang dibentangkan oleh PeSAWAH ini jelas menunjukkan bahawa suara dan kebajikan pesawah dan pengusaha pertanian kecil adalah umumnya tidak diberi pertimbangan serius. Sebaliknya pihak korporat yang lebih diberi keutamaan dalam dasar kerajaan. Tetapi hakikatnya ialah pertanian dalam skala industri dan UPOV 1991 akan melucutkan hak petani ke atas tanah yang diusahakan dan benih mereka. Padahal tanah dan benih adalah nadi pesawah. Kerajaan perlu mengiktirafkan bahawa pesawah berperanan besar dalam membekalkan makanan ruji kita dan dengan itu jaminan bekalan makanan negara.
Sehubungan dengan ini CAP dan SAM menggesa pihak kerajaan memberi pertimbangan serius kepada memorandum dan saranan PeSAWAH. Antara saranan yang terkandung dalam memorandum itu ialah menghentikan projek SMART SBB, dan sebaliknya menyokong serta meramaikan usahawan petani. Selain itu, PeSAWAH meminta supaya kerajaan menghentikan rancangan untuk menyertai Konvensyen UPOV 1991 dan penggubalan RUU Kualiti Benih Tanaman. Di ketika seluruh dunia berhadapan dengan krisis bekalan makanan lanjutan daripada perubahan iklim, peperangan dan pandemik seperti Covid19, ianya amat mustahak bagi kerajaan menjamin kedaulatan makanan negara dengan menyokong pengusaha pertanian kecil. Dengarilah suara PeSAWAH dan laksanakan tuntutan mereka.
Mohideen Abdul Kader
Presiden
Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP)
Meenakshi Raman
Presiden
Sahabat Alam Malaysia (SAM)