Kakitangan lapangan Sahabat Alam Malaysia (SAM) telah terjumpa longgokan besar balak yang dirampas di kolam balak Sungai Pelutan di Baram Tengah, Sarawak baru-baru ini.
Kami amat kecewa apabila mendapati bahawa kayu balak yang dirampas tersebut ialah spesies Tapang (Koompassia excelsa). Tapang adalah spesis tumbuhan dilindungi di bawah Jadual Kedua Ordinan Perlindungan Hidupan Liar 1998, Sarawak kerana ia jarang ditemui dan kerana ia adalah pokok yang penting bagi lebah madu bersarang.
Disebabkan kepentingannya, menebang pokok Tapang adalah dilarang. Hukuman pelanggaran peraturan ini adalah penjara maksimum setahun atau denda RM10,000.
Kami memuji tindakan pantas Jabatan Perhutanan menyita balak ini dan menganggap bahawa proses undang-undang sedang dijalankan kini. Walaubagaimanapun, kami menyeru agensi untuk meneruskan penyiasatan kerana kami bimbang bahawa jumlah yang disita mungkin hanya sebahagian kecil daripada bilangan yang lebih besar.
Oleh kerana sabitan pelanggaran peraturan pembalakan jarang berlaku di Sarawak yang terkenal dengan pemusnahan hutan akibat amalan pembalakan yang tidak mampan, SAM menggesa Peguam Negara untuk mengarahkan Pegawai Pendakwa untuk meminta penalti paling berat terhadap pihak yang melakukan kesalahan di mahkamah.
Pada 24 September, Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem mengumumkan bahawa kerajaan akan memperlengkapkan senjata bagi 50 pegawai penguatkuasa kanan untuk memerangi pembalakan haram kerana beliau kesal dengan pembalakan haram yang telah memusnahkan hutan dan kepelbagaian hidupan liar di negeri Sarawak. Beliau menjangkakan untuk melihat hasil dalam tempoh enam bulan akan datang dan berjanji untuk melakukan sesuatu yang lebih drastik jika keadaan tidak bertambah baik.
Sehubungan dengan ini SAM menggesa Tan Sri Adenan menunjukkan kepimpinan beliau dalam menangani masalah pembalakan haram yang telah membelenggu Sarawak selama beberapa dekad, yang beliau juga kutuk, bermula dengan kes ini.
Kami juga menggesa Jabatan Perhutanan Sarawak untuk mendedahkan kepada awam tentang tindakan yang telah diambil setakat ini ke atas kes ini. Jika didapati bersalah, orang ramai mesti tahu sama ada pihak-pihak yang terlibat sememangnya telah diberikan lesen untuk membalak kawasan yang berkenaan, atau jika mereka memiliki permit di kawasan lain. Sekiranya demikian, kami menyeru Tan Sri Adenan untuk membatalkan semua lesen pembalakan mereka untuk menjadi contoh bagi bakal pesalah lain yang beliau tegas dan undang-undang perlu dipatuhi dan tidak mesti diremehkan.
S M Mohamed Idris
Presiden