Pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan dan kumpulan pendesak yang berasaskan alam sekitar iaitu Sahabat Alam Malaysia (SAM), Persatuan Aktivis Sahabat Alam (KUASA), Pertubuhan Alam Sekitar Sejahtera Malaysia (GRASS Malaysia, Persatuan Penggerak Bumi Hijau Malaysia, Persatuan Jurupandu Geopark Warisan Alam Semulajadi Perak, Persatuan Pembela Alam Semulajadi dan Samudera Perak, dan Pemerhati Lembah Kinta (Kinta Valley Watch) menggesa Pihak Berkuasa Negeri Perak memberi komitmen memulihara dan mengekalkan dua Geotapak, Geopark Kebangsaan Lembah Kinta iaitu Gunung Kanthan dan Taman Eko Rimba Hulu Kinta (Hutan Lipur Hulu Kinta).
Pertubuhan-pertubuhan tersebut mendapati kedua-dua geotapak tersebut menghadapi risiko pemusnahan tanpa diberi perhatian yang sewajarnya.
Keadaan kedua-dua geotapak juga agak terbiar berbanding beberapa geotapak lain dalam Geopark Kebangsaan Lembah Kinta.
Kedua-dua geotapak tersebut terletak dalam Mukim Hulu Kinta, Daerah Kinta, Perak.
Gunung Kanthan
Gunung Kanthan adalah salah satu geotapak warisan geologi (bukit batu kapur) dalam Geopark Kebangsaan Lembah Kinta.
Dibimbangkan bahawa Geotapak Gunung Kanthan akan dimusnahkan apabila dimaklum bahawa Pihak Berkuasa Negeri Perak telah menyambung tempoh pemilikan/pajakan tanah kawasan tersebut kepada sebuah syarikat yang mengusahakan perusahaan simen pada tahun lepas (2020).
Kegiatan pemusnahan bukit batu kapur Gunung Kanthan adalah untuk tujuan kuari bagi membekalkan bahan asas kepada kilang simen berhampiran.
Sebahagian Gunung Kanthan sedang dilakukan kegiatan pemusnahan iaitu kawasan yang dikenali ‘Kawasan A’ dan ‘Kawasan B’.
Cadangan menambah keluasan kawasan kuari oleh syarikat kilang simen tersebut kemungkinan meliputi keseluruhan Gunung Kanthan iaitu di ‘Kawasan C’ dan ‘Kawasan D’.
Mengikut penyelidikan dan kajian yang telah dilakukan, ‘Kawasan C’ dan ‘Kawasan D’ mempunyai beberapa spesies flora dan fauna endemik serta dikategori sebagai bernilai pemuliharaan kritikal (Critically Endangered – CR).
Antara spesies flora endemik serta dikategori sebagai CR ialah Meiogye kanthanensis, Gymnostachyum kanthanensis dan Vatica kanthanensis manakala spesies fauna endemik serta dikategori sebagai CR ialah sejenis Labah-labah pra sejarah iaitu Liphistius kanthanensis dan sejenis Cicak iaitu Cyrtodactylus guakanthanensis.
Makluman penyambungan tempoh pemilikan/pajakan tanah kawasan Gunung Kanthan mengecewakan kami dan ini bercanggah dengan Rancangan Tempatan Ipoh 2020 (RT Ipoh 2020) yang ada menyatakan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) akan mencadangkan kepada Pihak Berkuasa Negeri supaya tidak meluluskan lagi kegiatan pengkuarian dalam kawasan pentadbiran Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) tersebut.
Taman Eko Rimba Hulu Kinta (Hutan Lipur Hulu Kinta)

Taman Eko Rimba Hulu Kinta (Hutan Lipur Hulu Kinta) pula adalah salah satu geotapak warisan semula jadi (hutan) dalam Geopark Kebangsaan Lembah Kinta.
Geotapak Taman Eko Rimba (Hutan Lipur Hulu Kinta) terletak dalam Hutan Simpan Bukit Kinta (HS Bukit Kinta).
Geotapak tersebut didapati terbiar dan tidak terurus serta tidak dimanfaat sebaiknya sebagaimana fungsi dan matlamat penubuhannya sejak lebih dua puluh tahun.
Beberapa kemudahan asas sedia ada yang terbiar dan tidak terurus ialah tapak perkhemahan, tandas, dewan terbuka, wakaf dan kawasan parkir.
Malah persekitaran kawasan hutan lipur dan dirian pokok juga tidak diselenggara menyebabkan didominasi oleh spesies pokok asing (spesies invasif) terutama Acacia mangium.
Tidak semestinya pihak berkuasa yang berkenaan perlu memperuntukkan kos perbelanjaan yang besar untuk menunjukkan komitmen memulihara dan mengekalkan Geotapak Taman Eko Rimba Hulu Kinta (Hutan Lipur Hulu Kinta) tetapi apa yang lebih penting ialah pihak berkuasa yang berkenaan perlu merancang, mengurus dan melaksana sesuatu program supaya geotapak tersebut sentiasa bermanfaat kepada umum.
Oleh itu, kami berharap Pihak Berkuasa Negeri akan memberi perhatian terhadap gesaan memberi komitmen memulihara dan mengekalkan dua geotapak, Geopark Kebangsaan Lembah Kinta iaitu Gunung Kanthan dan Taman Eko Rimba Hulu Kinta (Hutan Lipur Hulu Kinta) agar status pengiktirafan sebagai Geopark Kebangsaan tidak ditarik balik.
MEOR RAZAK BIN MEOR ABDUL RAHMAN
Jurucakap mewakili pertubuhan-pertubuhan yang disenaraikan