Sahabat Alam Malaysia (SAM) membantah Cadangan Projek Agro Farming dan Agro Pelancongan seluas 63.88 hektar tepi Jalanraya Timur Barat (Simpang Pulai – Kampung Raja), Perak kerana bimbang boleh menimbulkan impak/kesan secara langsung kepada alam sekitar.
SAM mempersoal dan kesal apabila mendapati kawasan hutan asal yang juga bekas sebahagian Hutan Simpan Bukit Kinta (HS Bukit Kinta) telah diluluskan untuk tujuan kegiatan pertanian.
Kawasan cadangan projek juga merupakan sebahagian daripada lingkungan Koridor Hidupan Liar dan ‘Central Forest Spine’ Banjaran Titiwangsa yang dilitupi jenis hutan dipterokap atas (800 meter ke atas dari aras laut).
Cadangan projek adalah bercanggah dengan pelan perancangan fizikal iaitu Rancangan Fizikal Negara (RFN) dan Rancangan Struktur Negeri (RSN) yang telah menetapkan kawasan tersebut sebagai Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS) yang perlu dikekal dan dipelihara.
Tinjauan SAM mendapati ciri-ciri geofizikal kawasan cadangan projek adalah berbukit curam, terdapat banyak alor dan punca air, struktur tanah dan lantai hutan mudah terhakis dan merupakan kawasan sensitif kepada sebarang kegiatan yang melibatkan pemusnahan (pengubahan) guna-tanah hutan sedia-ada.
Kegiatan pemusnahan (pengubahan) guna-tanah yang ketara daripada hutan kepada lain-lain guna-tanah di kawasan cadangan projek akan menyebabkan permukaan tanah terdedah kepada lebihan air larian permukaan, hakisan lereng bukit dan kerosakan struktur fizikal sungai semasa hujan lebat.
Antara impak/kesan yang dibimbangi boleh berlaku ialah banjir lumpur, gangguan kawasan punca bekalan air (tadahan air), menghadkan kawasan keliaran hidupan liar dan konflik hidupan liar dengan manusia.
Kelulusan cadangan projek dibimbangi juga akan menggalakkan pihak-pihak lain untuk mengubah guna-tanah sedia-ada di kawasan persekitaran kepada lain-lain guna-tanah terutama pertanian berskala ladang.
Sebelum adanya cadangan projek telah dilaksana satu projek berskala besar di kawasan berhampiran.
SAM ada juga menerima rungutan dan aduan daripada penduduk kampung Orang Asli berhampiran yang mendakwa kawasan cadangan projek adalah merupakan sebahagian ‘tanah adat’ mereka.
Mereka menyatakan bahawa ‘tanah adat’ di kawasan cadangan projek penting kepada masyarakat Orang Asli berhampiran kerana ia adalah kawasan rayau untuk mendapatkan hasil hutan.
Oleh itu SAM berharap Pihak Berkuasa Negeri membatalkan Cadangan Projek Agro Farming dan Agro Pelancongan seluas 63.88 hektar di Jalanraya Timur – Barat (Simpang Pulai – Kampung Raja), Perak dan mengekalkan guna-tanah sedia-ada.
S.M MOHAMED IDRIS
Presiden