Sahabat Alam Malaysia (SAM) merasa bimbang terhadap masa depan 250 nelayan yang bergantung hidup kepada hasil tangkapan di Sungai Kim Kim yang teruk dicemari bahan kimia baru-baru ini.
SAM menggesa kerajaan Johor, jabatan serta agensi berkaitan mengambil tindakan segera bagi memulihkan kesan pencemaran tersebut agar hidupan di dalam sungai berkenaan kembali membiak demi kelangsungan hidup nelayan terbabit.
Mengulas laporan akhbar tempatan (Mingguan Malaysia: 17 Mac 2019) mengenai perkara ini, SAM berharap pembelaan sewajarnya diberikan kepada mereka kerana ia menjadi sumber pendapatan utama bagi menyara kehidupan keluarga.
Kampung-kampung nelayan yang teruk terjejas ialah Kampung Teluk Kabung, Kampung Perigi Aceh, Kampung Pasir Putih dan Kampung Gudang Baru. Manakala jenis ikan yang menjadi mangsa pencemaran bahan kimia di sungai ini ialah ikan kitang, ikan selangat, ikan belanak dan ikan belukang.
Menurut Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan Johor Selatan Azli Mohd Aziz, lebih 40 laporan polis telah dibuat oleh nelayan-nelayan yang terlibat mengenai air sungai ini menjadi keruh dan ikan mati di dalam sungai berkenaan.
SAM percaya jika pencemaran sungai seluruh negara tidak diberi perhatian serius, bukan saja ikan dan hidupan lain di dalam sungai akan pupus malah para nelayan yang bergantung hidup kepada hasil tangkapan di sungai berkenaan juga akan terputus mata pencarian pada masa akan datang.
Baru-baru ini telah dilaporkan bahawa 25 sungai iaitu 16 sungai di Johor, lima di Lembah Klang, tiga di Pulau Pinang dan satu di Melaka dikategorikan sebagai Kelas Lima iaitu pencemaran teruk. Pencemaran perlu dihentikan di puncanya.
Sehubungan itu SAM meminta Jabatan Alam Sekitar (JAS) melakukan pemantauan secara berterusan dan menguatkuasakan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dengan tegas agar kejadian seperti ini tidak berulang dan Sungai Kim Kim serta sungai-sungai lain di Malaysia selamat dari sebarang bentuk pencemaran.
Untuk meringankan beban nelayan yang terjejas teruk sumber pendapatan akibat pencemaran Sungai Kim Kim, SAM mencadangkan supaya mereka diberi pampasan yang setimpal dengan kerugian yang dialami.
S.M.MOHAMED IDRIS
Presiden