Ini adalah kenyataan bersama JARING
Sahabat Alam Malaysia (SAM) dan Persatuan Pendidikan dan Kebajikan Jaringan Nelayan Pantai Malaysia (JARING) menyokong penuh cadangan kerajaan untuk mengharamkan penggunaan pukat di kawasan Zon B. SAM dan JARING merasakan tindakan pengharaman pukat tunda ini seharusnya di buat dengan lebih awal kerana penggunaan pukat ini mendatangkan lebih banyak keburukan daripada kebaikan.
Daripada statistik jabatan perikanan jumlah pendaratan ikan tunda pada tahun 2012 adalah 706 MT. Daripada jumlah itu sebanyak 176 MT (25%) adalah anak-anak ikan (ikan baja) dan 211 MT (30%) adalah ikan proses dan hanya 317 MT(45%) sahaja hasil laut yang di jual di pasar. Penangkapan ikan baja oleh bot tunda merugikan sumber marin negara. Ikan baja merupakan ikan yang tidak atau kurang mempunyai nilai komersil yang ditangkap untuk diproses sebagai bahan makanan untuk industri akuakultur. Pengembangan aktiviti akuakultur menggalakkan permintaan yang tinggi terhadap ikan baja. Malahan terdapat juga bot pukat tunda dengan sengaja menangkap ikan-ikan baja untuk di jual kepada pengusaha akuakultur.
Pukat tunda juga mendatangkan konflik yang besar di antara nelayan tradisional dengan nelayan tunda. Pukat tunda sering menceroboh kawasan zon A (nelayan pantai) menyebakan kawasan A musnah. Karang-karang laut dan kawasan habitat marin untuk membiak juga musnah. Ini menyebabkan hidupan marin tidak dapat membiak dan mengurangkan stok perikanan negara. Alat tangkapan ini bukan saja mengancam benih ikan dan sumber perikanan di perairan negara malah telah menyebabkan puluhan ribu nelayan pantai hidup menderita akibat kemerosotan hasil tangkapan dan sumber pendapatan yang dialami.
SAM dan JARING berharap pihak kerajaan tidak tunduk kepada tekanan pihak-pihak yang hanya tahu mengaut keuntungan sahaja. Kerajaan seharusnya lebih tegas bagi memastikan sumber marin negara dapat di nikmati oleh generasi mendatang. Kerajan seharusnya mengikut langkah beberapa buah negara seperti Jepun, Hong Kong, Venezuela, Palau, Belize dan Indonesia telah mengharamkan penggunaan pukat ini kerana memberi kesan buruk ke atas sumber perikanan marin.
Kenyataan Bersama
S.M MOHAMED IDRIS
PRESIDEN SAM
DAN
JAMALUDDIN MOHAMAD
PENGERUSI
PERSATUAN PENDIDIKAN DAN
KEBAJIKAN JARINGAN NELAYAN
PANTAI MALAYSIA (JARING)