Sahabat Alam Malaysia (SAM) menggesa kerajaan Pahang mengambil tindakan menghentikan segera kegiatan pembalakan berhampiran Hutan Simpan Kuala Krau dekat Temerloh kerana ia menjejaskan alam sekitar dan kehidupan 200 Orang Asli Kampung Terbol di sini.
Selain mencemarkan sumber bekalan air kegunaan harian masyarakat tersebut kegiatan ini juga boleh mengganggu ekosistem dan kawasan hutan yang menjadi tempat mereka mencari rezeki.
Pada masa yang sama, paip air yang dibekalkan oleh Kementerian Kesihatan sejak 15 tahun lalu untuk menyalurkan air bersih untuk minuman penduduk kampung berkenaan juga tidak lagi berfungsi dengan baik sejak kegiatan pembalakan ini bermula.
Aduan serta bantahan melalui surat telah dibuat oleh Jawatankuasa Bertindak Penduduk Kampung Terbol kepada pihak berwajib tentang masalah ini tetapi hingga kini tidak ada maklum balas dari pihak berkenaan.
Penduduk-penduduk di sini juga telah mengadakan protes secara aman menuntut supaya aktiviti pembalakan di sini dihentikan.
Mengulas laporan akhbar tempatan ( Sinar Harian : 19 Mei 2015 ) mengenai masalah ini, SAM meminta Jabatan Perhutanan Pahang, Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Kesihatan dan Pejabat Daerah Temerloh memberi perhatian serius dan mengambil tindakan segera bagi mengatasi masalah tersebut.
SAM kesal walaupun kegiatan pembalakan di sini jelas terbukti menjejaskan alam sekitar dan kehidupan masyarakat Orang Asli di kawasan itu namun ia masih dibiarkan berlarutan tanpa sebarang tindakan diambil.
SAM percaya keadaan ini akan menjadi lebih buruk jika sumber pendapatan dan keperluan asas seperti minuman dan makanan bagi penduduk-penduduk di sini terancam dengan serius pada masa akan datang.
Malah banjir kilat juga boleh melanda kampung ini jika masalah hakisan dan mendapan tanah turut berlaku akibat aktiviti pembalakan tersebut. Jika ini terjadi harta benda dan tanaman penduduk-penduduk di sini akan musnah. Justeru itu SAM menyokong desakan penduduk-penduduk yang terlibat supaya kegiatan pembalakan di sini dihentikan segera.
S.M.MOHAMED IDRIS
Presiden