Sahabat Alam Malaysia (SAM) menggesa Jabatan Alam Sekitar (JAS) Perak menyiasat dan mengambil tindakan tegas ke atas pihak yang terlibat dengan kejadian pencemaran Sungai Rui dekat Gerik baru-baru ini.
Selain tindakan tegas, pihak yang bertanggungjawab melakukan perbuatan itu juga wajar dikenakan hukuman berat setimpal dengan kesan buruk yang berlaku ke atas alam sekitar dan kematian ikan di dalam sungai berkenaan.
Mengulas laporan akhbar tempatan ( Berita Harian : 30 Oktober 2014 ) mengenai masalah ini SAM berharap Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dilaksanakan serta dikuatkuasakan oleh JAS dengan tegas dan berterusan agar kejadian serupa tidak berulang pada masa akan datang.
Minggu lalu kira-kira lima tan ikan berbagai spesies mati keracunan di Sungai Rui disyaki berpunca dari pembuangan sisa kilang yang beroperasi di kawasan itu. Antara jenis ikan yang menjadi mangsa ialah loma, kelabau, baung, lampam termasuk juga udang.
Menurut Ketua Jabatan Perikanan Gerik, Zainuddin Yaacob, pemeriksaan yang dilakukan oleh pihaknya mendapati air sungai dari Kampung Lalang ke Kampung Temenggor sepanjang 8km menjadi hitam akibat pencemaran sisa buangan kilang terbabit.
Kejadian ini turut menjejaskan sumber pendapatan nelayan kecil yang bergantung hidup kepada hasil tangkapan ikan di sungai berkenaan kerana banyak ikan yang mati merupakan jenis ikan yang berkualiti tinggi.
SAM kesal walaupun ancaman pencemaran ke atas Sungai Rui telah lama berlaku namun tidak ada tindakan berkesan yang diambil sebelum ini sehingga keadaan tersebut berlarutan hingga sekarang dan menjadi bertambah buruk.
SAM percaya jika tindakan undang-undang yang tegas tidak diambil ke atas pengusaha kilang yang terlibat dengan pembuangan sisa toksik ke dalam sungai ini bukan saja sumber perikanan akan mengalami kepupusan malah mata pencarian nelayan kecil di sini juga akan putus. Para nelayan kecil yang terlibat wajar diberi pampasan bagi meringankan beban kehidupan keluarga masing-masing akibat sumber pendapatan mereka yang telah terjejas.
Sehubungan itu SAM berharap kerajaan Perak dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) memberi perhatian serius mengenai masalah ini dengan melakukan pemantauan secara berterusan supaya pihak kilang tidak sewenang-wenangnya bertindak mencemarkan alam sekitar di negeri ini.
S.M.MOHAMED IDRIS
Presiden