Tindakan tegas perlu diambil ke atas pihak yang terlibat
Sahabat Alam Malaysia (SAM) menggesa kerajaan Pulau Pinang, Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) segera menyiasat punca pencemaran yang menyebabkan beribu ekor ikan air tawar mati di beberapa batang sungai di Changkat daerah Seberang Perai Selatan (SPS) di sini.
Antara jenis ikan yang menjadi mangsa pencemaran ini ialah puyu, lampam dan sepat.
Hasil siasatan tersebut perlu didedahkan kepada umum kerana masalah ini amat serius mengancam alam sekitar dan melibatkan sumber pendapatan nelayan serta makanan penduduk tempatan.
Mengulas laporan akhbar ( Sinar Harian : 15.4.16 ) hari ini, SAM kesal dan bimbang dengan kejadian yang berlaku itu kerana ia boleh menjejaskan kesihatan awam serta keselamatan nyawa manusia jika dibiarkan berterusan.
Justeru itu SAM meminta JAS mengenal pasti punca pencemaran tersebut dan menguatkuasakan Akta Kualiti Alam Sekitar 1974 dengan tegas. Hukuman yang berat wajar dikenakan ke atas mereka yang didapati bersalah dan bertanggungjawab melakukan pencemaran itu.
SAM turut menggesa Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) membuat pemantauan yang kerap dan berterusan di kawasan terbabit supaya tidak ada pihak yang sewenang-wenangnya mencemarkan sungai dan laut dengan bahan beracun pada masa akan datang.
S.M.MOHAMED IDRIS
Presiden