Sahabat Alam Malaysia mengalu-alukan keputusan yang diambil oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) dalam mengemukakan perintah berhenti kerja kepada pemaju projek tebusguna tanah di Kuala Kedah yang dikenali sebagai “The Dubai of Malaysia”.
Ketua Pengarah JAS telah mengesahkan kepada media bahawa perintah tersebut dikemukakan melalui notis bertarikh 15 Mei 2017. SAM telah membangkitkan isu ini kepada JAS pada pertengahan bulan Mac 2017 selepas tinjauan yang mendapati bahawa kerja-kerja penebusgunaan tanah telah bermula di Kuala Kedah walaupun EIA cadangan projek ini sedang dipamerkan untuk mendapatkan ulasan awam.
Kerajaan Negeri Kedah sebagai tuan tanah dalam projek ini seharusnya mematuhi undang-undang alam sekitar dan tidak memulakan projek sehingga mendapatkan kesemua kelulusan termasuk daripada JAS. Kami berharap bahawa tindakan JAS ini menjadi teladan kepada penggerak dan pemaju projek lain agar mematuhi undang-undang.
Kini kami menggesa JAS untuk tidak meluluskan EIA projek ini. Antara lain, EIA menyatakan bahawa langkah-langkah mitigasi yang akan diambil akan “memastikan sumber marin tidak dikesani akibat aktiviti tebusguna”. Kenyataan ini adalah tidak bermakna dan tindakan mitigasi adalah sewenang-wenang kerana projek ini akan membawa kepada kehilangan paya laut dan dataran lumpur di kawasan projek.
Tambahan daripada mengancam sumber perikanan di perairan Kuala Kedah dan menjejaskan sumber pendapatan nelayan-nelayan di sini, paya laut di sini yang merupakan kawasan pembiakan hidupan marin akan kekal dimusnahkan.
Habitat dataran lumpur di sini juga berfungsi sebagai pembekal nutrien kepada ikan di kawasan yang lebih meluas. Dianggarkan 5.6 hektar habitat dataran lumpur akan hilang berikutan projek tebusguna ini. Oleh kerana dataran lumpur membekalkan sumber nutrien, konsisten dengan hubungan rantaian makanan dalam persekitaran marin, spesies ikan lain juga akan terjejas.
Projek tebusguna tanah ini memang mempunyai impak signifikan kepada alam sekitar, secara spesifik kepada persekitaran persisiran pantai dan marin, sumber marin dan burung-burung persisiran laut.
Pertimbangan wajar juga perlu diberikan kepada impak sosio-ekonomi masyarakat persisiran pantai yang akan hilang sumber pendapatan, dan seterusnya meminggirkan lagi masyarakat miskin di sini. Komuniti di sini teutamanya nelayan telah membantah projek ini tetapi tidak dipedulikan oleh Kerajaan Negeri.
Kami menggesa JAS untuk membatalkan EIA cadangan projek tebusguna tanah ini kerana bukan semua impak projek dipertimbangkan secara menyeluruh dalam laporan EIA tersebut. Perunding EIA juga perlu dipertanggungjawabkan memandangkan ia disahkan bahawa pembangunan projek telah bermula tanpa mendapat kelulusan EIA.
S.M. MOHAMED IDRIS
President