Sahabat Alam Malaysia (SAM) menggesa Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) serta Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Pulau Pinang dan pihak berkuasa lain yang berkenaan segera menyiasat dan menyelesaikan masalah pencemaran air dari Parit D3 – Paya Mahang di Seberang Perai Selatan (SPS).
SAM telah membangkitkan isu ini ke pengetahuan pihak-pihak yang berkenaan, bagaimanapun tiada tindakan berkesan diambil malah apa yang dilihat pada ketika ini ialah kualiti air semakin buruk. Saliran air dari parit tercemar ini menuju ke lembangan Sungai Jawi seterusnya ke muara Sungai Jawi dan akhirnya ke laut.
Pencemaran air parit terbabit dapat dilihat dengan jelas melalui jalan utama yang terletak di selekoh Jalan Besar menghala ke Simpang Ampat, SPS sebelum Kilang Silitech Technology Cooperation Sdn. Bhd. Jelas kelihatan kualiti air dalam parit berkenaan kotor, berbau, berkelodak dan seakan berminyak. Pihak berkuasa perlu menganalisis sampel air bagi mengetahui kandungan serta paras pencemaran di parit-parit tersebut.
Maklumbalas yang SAM terima dari pihak JPS SPS yang telah menjalankan siasatan terhadap aduan oleh SAM menyatakan bahawa antara punca parit menjadi hitam dan kotor adalah disebabkan berlakunya aktiviti penternakan khinzir di persekitaran Parit D3 (Paya Mahang). Malah dilaporkan air dari ladang ternakan berkenaan mengalir secara terus ke dalam parit berdekatan dan seterusnya masuk ke dalam parit yang dimaksudkan.
Kelihatan di sini warna air yang sangat kotor | SAM Lokasi pencemaran sebelum stesyen JPJ Valdor | SAM
Selain itu, pihak JPS juga turut memaklumkan bahawa perkara ini telah dibawa ke pengetahuan Mesyuarat Jawatankuasa Pasukan Khas Menangani Isu Pencemaran Sungai Dan Laut Negeri Pulau Pinang.
Jelas di sini bahawa perkara ini telah lama berlaku dan diketahui pihak berkuasa tetapi masalah pencemaran ini nampaknya tiada kesudahannya, seperti yang berlaku di Kampung Selamat, Tasik Gelugor, di mana sisa kumbahan ternakan babi membelenggu penduduk selama lebih 40 tahun. Enakmen Penternakan Babi 2016 dan Peraturan Peraturan Pelesenan Penternakan (Negeri Pulau. Pinang) Babi 2020 perlu dikuatkuasakan dengan tegas untuk menyelesaikan masalah pencemaran dari penternakan babi di sini.
Kami percaya jika masalah pencemaran di Parit D3 ini dibiar berterusan tanpa ada sebarang kawalan dan penguatkuasaan yang dilakukan maka sampai bila pun perkara ini tidak akan selesai malah akan lebih rumit dan menelan kos yang sangat tinggi sekiranya projek pemulihan dirancang oleh pihak kerajaan negeri di masa akan datang.
Sehubungan itu SAM sarankan supaya pihak berkuasa yang berkaitan mengadakan operasi bersepadu serta mengenakan tindakan yang lebih tegas dan tidak berkompromi terhadap mana-mana pelaku yang melakukan pencemaran ini.
Meenakshi Raman
Presiden