Sahabat Alam Malaysia (SAM) amat terkejut dan kecewa terhadap pendirian Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek yang secara terang-terangan menolak undang-undang kebangsaan ke atas pemburuan dan pengambilan sirip ikan yu dan menolaknya sebagai satu industri di negara ini.
Menteri mungkin kekurangan maklumat atau tidak menyedari bahawa bilangan ikan yu semakin terancam dan kini memerlukan perlindungan sepenuhnya. Sudah tentu halangan utama dalam merangka pelan pemuliharaan dan perlindungan ikan yu ialah sama ada seseorang itu mungkin hanya memiliki pengetahuan paling asas mengenai ekologi dan tingkah laku ikan yu, atau amat sedikit pemahaman mengenai bilangan dan kedinamikannya.
Dalam kebanyakan kes, disebabkan oleh kekurangan pengurusan dan penyelidikan ke atas perikanan elasmobranch, tidak diketahui jika paras penuaiannya adalah lestari. Amat sedikit diketahui mengenai biologi dan ekologi kebanyakan spesies ikan yu dan sama ada terdapat kewujudan maklumat yang boleh diperolehi mengenai perikanan ikan yu, perniagaannya dan pasaran tempatan, dan pengurusan serta langkah pemuliharaan. Spesies ikan yu pada masa kini mendapat permintaan untuk sirip, tulang rawan, kulit, daging, minyak dan hati.
Undang-undang perikanan Malaysia tidak melindungi ikan yu dan pari, sama ada sebagai spesies atau bagi tujuan pengurusan perikanan. Nasib ikan yu semakin suram dengan pengurangan stok yang meluas daripada industri perikanan dan kepupusan stok tempatan yang didaratkan daripada kesan perindustrian, rekreasi dan perikanan berskala kecil dan besar.
Laporan tahunan ikan yu menyerang perenang atau pelayar meletakkan ikan yu pada kedudukan teratas dalam senarai makhluk hidup paling ditakuti di dunia. Bagaimanapun, serangan ikan yu amat jarang sekali. Serangan ikan yu pasti menjadi berita, tetapi apa yang jarang dilaporkan ialah di seluruh dunia, manusia membunuh 73 juta ikan yu setahun. Bilangan ini semakin meningkat dalam beberapa tahun lepas ini disebabkan permintaan besar untuk sirip ikan yu bagi kegunaan dalam sup ikan yu. Walaupun selera makan untuk sirip ikan yu amat besar di Asia, pembunuhan besar-besaran dilakukan di seluruh dunia. Tiada batasan antarabangsa ke atas bilangan ikan yu yang diambil.
Hampir satu pertiga spesies ikan yu di lautan terbuka diancam oleh kepupusan. Di sebalik kekejamannya, ikan yu memastikan keadaan yang teratur di lautan. Berada di atas rantaian makanan, ia memastikan populasi pemangsa besar lain adalah terkawal. Kehilangan pemangsa di bahagian atas ini mewujudkan keseimbangan melata. Spesies yang dulunya dikawal oleh ikan yu akan mula menghapuskan ikan yang lebih kecil yang sebahagiannya adalah makanan bagi manusia. Lautan yang sihat memerlukan ikan yu dan tanpa lautan yang sihat, sektor perikanan akan terjejas.
Spesies ikan yu mempunyai kadar pertumbuhan yang perlahan, lambat matang dan menghasilkan anak yang sedikit. Ini bermakna ia mudah terjejas apabila berlaku eksploitasi berlebihan. Masalahnya kini ialah harga tinggi yang boleh diperolehi oleh nelayan daripada sirip ikan yu mendorong industri untuk mengeksploitasi spesies ini sehingga berisiko untuk pupus.
Kini tiba masanya untuk kita bertindak bagi menyelamatkan ikan yu sebelum ia pupus sepenuhnya. Kaedah perlindungan yang terbaik ialah mewujudkan rizab marin yang seharusnya juga termasuk pembangunan kawasan perlindungan marin untuk perlindungan terumbu karang dan hidupan marin di mana penangkapan ikan dihadkan untuk sementara waktu supaya spesies yang semakin hilang boleh bertambah semula. Strategi seperti itu berkesan bagi spesies ikan komersial yang terancam dan boleh digunakan untuk ikan yu tetapi ia akan mengambil masa kerana ikan yu adalah ikan yang membiak secara perlahan.
Kerajaan negeri Sabah perlu menjalankan kajian semula terhadap biodiversiti elasmobranch, taksonomi, status bilangan, perikanan dan pasaran dalam pengurusan dan pemuliharaan. Pengumpulan data dan langkah untuk memulihara ikan yu perlu diambilkira.
Inisiatif lain adalah pemimpin, Kementerian dan pegawai kerajaan perlu menyedari tindakan kejam mengambil sirip ikan yu dan menghentikan hidangan juadah sirip ikan yu di meja makan kerana permintaan pengguna yang mendorong kepada perniagaan itu.
Rantaian hotel perlu juga diingatkan tentang isu alam sekitar dan kelestarian dan menghapuskan sirip ikan yu dalam menu mereka. Orang ramai akan mengubah sikap mereka apabila mereka mendapat maklumat yang sebenar.
Langkah yang seterusnya yang perlu digerakkan untuk momentum yang selanjutnya dalam pemuliharaan ikan yu ialah dengan pengharaman sirip ikan yu oleh syarikat penerbangan. Setakat ini Garuda Airlines turut serta dalam senarai syarikat penerbangan antarabangsa – Air New Zealand, Cathay Pacific, Emirates Airlines, Fiji Airways dan Korean Air. Pada masa yang sama SAM berharap Malaysia Airlines Berhad (MAB) dan Air Asia untuk turut berbuat demikian.
Sehubungan itu, pihak Kementerian Pertanian perlu menggubal undang-undang pengharaman pengambilan sirip ikan yu dan pengimportan sirip ikan yu. Banyak negara telah berbuat demikian, jadi kenapa Malaysia tidak boleh melakukannya.
Seperti spesies terancam lain spesies ikan yu juga perlukan perlindungan.
S. M. Mohamed Idris
Presiden