Sahabat Alam Malaysia (SAM) menggesa kerajaan Kedah dan Majlis Perbandaran Langkawi (MPL) mempertingkatkan usaha bagi mengawal Sungai Kuah dari mengalami pencemaran yang serius.
Langkah sedemikian perlu dilakukan segera kerana air sungai itu kini semakin tercemar dan berbau busuk.
Dalam tinjauan yang dibuat SAM mendapati antara punca utama berlakunya pencemaran tersebut ialah buangan sisa kumbahan dari premis perniagaan dan kawasan perumahan di sekitar Pekan Kuah di sini.
Sisa buangan tersebut bukan saja menimbulkan bau busuk tetapi juga turut mencemarkan air laut berhampiran.
Apa yang membimbangkan SAM, kesan pencemaran yang berlaku itu bukan saja menjejaskan keselesaan orang awam yang melalui kawasan ini malah hampir 100 nelayan pantai yang berpengkalan di sungai berkenaan turut terancam.
SAM bimbang sisa kumbahan yang mengalir ke laut berhampiran mengandungi bahan kimia yang boleh menjejaskan hidupan laut seperti siput yang menghasilkan sumber pendapatan bagi nelayan tempatan.
Selain masalah sisa kumbahan, punca-punca berlakunya mendapan di dasar sungai ini juga perlu diberi perhatian supaya ia tidak menjadi cetek dan boleh mencetuskan ancaman banjir kilat pada masa akan datang.
SAM kesal akibat dari pelaksanaan projek tambak laut di kawasan berhampiran menyebabkan muara Sungai Kuah terjejas dan nelayan-nelayan di sini mengalami berbagai kesulitan untuk menjalankan aktiviti harian.
Sehubungan itu SAM berharap pihak berkenaan memberi perhatian serius bagi memelihara serta memulihkan kualiti alam sekitar dan masalah penduduk di pulau ini.
Undang-undang dan peraturan yang termaktub di bawah akta berkaitan dengan masalah ini perlu dilaksanakan dan dikuatkuasakan dengan tegas.
S.M.MOHAMED IDRIS
Presiden